Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRamadan ialah madrasah tarbiah yang menyediakan ruang bagi membolehkan ummah meningkatkan amal ibadah. Tujuan utama Ramadan ialah pembinaan takwa.
Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.”
(Surah al-Baqarah 2:183).
Persediaan jiwa atau rohani untuk menyambut Ramadan bermaksud menghidupkan kesedaran hati, menyucikan niat, memperbaharu taubat, dan menguatkan iman agar Ramadan disambut dengan penuh keinsafan, kesungguhan ibadah, serta membawa perubahan diri ke arah yang lebih baik.
Para salafussoleh menyambut Ramadan dengan persediaan yang panjang; dengan kesungguhan iman dan takwa. Ramadan bukan sekadar dinanti, bahkan dirindui dan dipersiapkan dengan penuh kesedaran rohani. Mereka memahami Ramadan merupakan peluang keemasan untuk menyucikan jiwa, memperbanyak amal dan mencapai darjat takwa. Mereka membuat persiapan dengan memperbanyak taubat, berzikir dan menggerakkan diri untuk beribadah dengan penuh keikhlasan.
Dalam persediaan menghidupkan jiwa untuk menyambut Ramadan, umat Islam disarankan untuk memberikan perhatian kepada tiga langkah berikut:
Bertanyakan diri, mengapakah aku berpuasa apabila datang Ramadan? Adakah kerana mematuhi perintah Allah SWT atau sekadar berpuasa secara ikut-ikutan? Puasa yang berniat ikhlas dilakukan kerana Allah SWT akan menghasilkan ketakwaan, manakala puasa yang dilakukan atas sebab lain, hanya menjadikannya amalan berlapar dan berdahaga seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Boleh jadi orang yang berpuasa tidak memperoleh apa-apa selain lapar … .” (Hadis riwayat Ibn Majah).
Niat yang betul akan melahirkan kesungguhan beramal. Niat berpuasa kerana Allah SWT akan diiringi kesungguhan menjaga solat serta menjaga lisan, pandangan, pendengaran dan tingkah laku. Puasa bukan hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi difardukan dengan hikmah menguatkan jiwa melawan kehendak nafsu yang mahu melakukan dosa.
Ramadan ialah bulan latihan dan pendidikan, terutamanya disiplin menggunakan waktu dengan jadual ibadah yang tersusun. Ramadan dipenuhi ibadah dan aturan harian yang berbeza daripada ibadah bulan lain. Umpamanya, bersahur memerlukan kita bangun awal, serta memberi kita peluang melakukan solat tahajud sebelum sahur; selepas sahur, kita berpeluang berzikir atau membaca al-Quran sementara menanti waktu solat subuh; dan berbuka, mendidik kita makan pada awal malam sebaik masuknya waktu solat Maghrib. Solat Tarawih memberikan kelebihan melakukan gerakan jasmani selepas makan, di samping menguatkan jiwa kita untuk berada di masjid atau di surau lebih lama.
Latihan disiplin membantu mempersiapkan diri agar tidak melalui bulan keberkatan ini dengan kerugian kerana mensia-siakan waktu. Jiwa tidak akan hidup jika Ramadan hanya dihabiskan dengan perkara yang melalaikan.
Ramadan ialah masa terbaik untuk menghidupkan hubungan dengan al-Quran. Mulakan dengan langkah kecil, tetapi dilakukan secara istiqamah. Bacalah dan dengarlah bacaan al-Quran dengan penuh penghayatan. Renungi makna dan berusaha mengamalkan ajaran al-Quran dalam seluruh aspek kehidupan.
Ramadan ialah bulan untuk mendidik kita bersifat insaf terhadap orang yang susah. Golongan yang menghadapi kesukaran mendapatkan keperluan makanan harian semakin banyak, malah dalam kalangan mereka terdapat kanak-kanak yang terpaksa tidur setiap malam dalam keadaan lapar.
Puasa sepatutnya melatih kita makan dan minum secara sederhana, berjimat cermat dan tidak membazir. Kini, kita sedang menyaksikan umat Islam dihadapkan dengan ujian yang melibatkan aspek bermewah-mewah sehingga berlaku pembaziran bahan makanan secara besar-besaran. Dengan tujuan perniagaan dan keuntungan, hotel dan restoran semakin menjadi-jadi mempromosikan bufet Ramadan, serta mengenakan harga yang tidak munasabah sehingga menjangkau ratusan ringgit bagi seorang.
Tawaran bufet Ramadan sering menjadi medan untuk menjamu selera secara berlebihan sehingga menyimpang daripada tujuan sebenar berpuasa. Selain itu, semakin banyak umat Islam terpengaruh oleh strategi pemasaran yang giat dijalankan. Antara perkara yang sering berlaku termasuklah:
Apabila berbuka puasa dijadikan pesta makanan dan menjamu selera, roh tarbiah Ramadan semakin pudar. Matlamat berpuasa untuk mengekang hawa nafsu hanya bertahan pada siang hari dan lenyap menjelang terbenam matahari. Jumlah wang yang dibelanjakan lebih bermanfaat jika dijadikan sumbangan untuk menaja makanan berbuka atau bersahur untuk orang miskin, anak yatim, dan para pelajar di pelbagai institusi pengajian atau disumbangkan untuk membiayai program menghidupkan Ramadan di masjid, surau, serta pusat latihan dan pengajian.
Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diberikan perhatian dan dijadikan pedoman bersama, iaitu:
Ramadan sepatutnya mengajar kita untuk merasai kesusahan orang lain, terutamanya golongan miskin, fakir dan orang yang diuji dengan kesempitan hidup. Oleh itu, Ramadan ialah masa terbaik untuk kita membanyakkan sedekah, serta membantu kaum keluarga, rakan sekerja dan jiran tetangga yang menghadapi kesusahan hidup. Ramadan ialah waktu untuk menyantuni anak yatim begitu juga orang tua yang uzur yang memerlukan pelbagai rawatan dan pertolongan.
Semoga Ramadan yang bakal tiba menjadi Ramadan terbaik dalam hidup kita; Ramadan yang berjaya mengubah sikap, membina iman dan meningkatkan takwa kita kepada Allah SWT.
Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 13 Februari 2026, bertajuk “Persediaan Jiwa Menyambut Ramadan”.