Diterbitkan pada 2 Januari 2026, 13:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Memasuki tahun 2026, umat Islam seharusnya meningkatkan iman dan memperteguh takwa. Taatilah Allah SWT dengan sepenuh jiwa, serta dengan kekuatan iman yang berjaya menghadapi dugaan berat untuk mengawal nafsu dan ujian duniawi. Insaflah, dunia hanyalah persinggahan sementara, sedang akhirat negeri yang kekal abadi.

Alhamdulillah, hari ini dengan rahmat dan izin Ilahi, kita dikurniakan usia, membolehkan kita melangkah masuk ke hari kedua tahun 2026. Semoga tahun baharu membawa kejayaan lebih gemilang dalam hidup kita, dengan niat dan usaha untuk meningkatkan iman dan memperteguh takwa, memperbanyak ibadah, beramal soleh, menyempurnakan amanah, bekerja secara lebih tekun, lebih bersungguh-sungguh menimba ilmu pengetahuan, di samping memberikan masa yang berharga kepada anggota keluarga. Semoga tahun 2026 membawa pelbagai kejayaan dalam hidup serta kerjaya kita.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya telah berjayalah orang yang beriman; iaitu orang yang khusyuk dalam solat mereka. Dan orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna. Dan orang yang menunaikan zakat. Dan orang yang menjaga kehormatan mereka, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang dimiliki oleh mereka, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Akan tetapi, sesiapa mencari selain itu, maka mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang yang menunaikan amanah dan janji mereka. Dan mereka yang memelihara solat mereka.” (Surah al-Mu’minun 23:1-9).

Ayat 1 hingga ayat 9 daripada Surah al-Mu’minun tersebut menghuraikan tujuh sifat yang menjadikan orang mukmin berjaya, seperti yang berikut:

  • Pertama: Orang yang beriman; yang pasti berjaya mencapai keselamatan hidup di dunia dan kebahagiaan yang kekal di akhirat. mereka melakukan suruhan Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.
  • Kedua: Orang yang khusyuk dalam solat kerana solat yang sempurna ialah solat yang dilakukan dengan khusyuk, dengan sepenuh-penuh hormat dan ingatan meliputi anggota badan dan hati.
  • Ketiga: Orang yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang tidak berguna.
  • Keempat: Orang yang menunaikan zakat.
  • Kelima: Orang yang menjaga kehormatan; iaitu menjaga nafsu syahwatnya daripada perbuatan zina.
  • Keenam: Orang yang menunaikan amanah dan janji mereka. Apabila diberikan amanah, mereka tidak mengkhianatinya; apabila mereka berjanji, mereka tidak mencabulinya, bahkan mereka akan menepatinya atas keinsafan perbuatan khianat dan mencabuli janji itu merupakan sifat orang munafik.
  • Ketujuh: Orang yang memelihara solat mereka; iaitu orang yang tetap mendirikan solat pada waktunya dengan cara yang sempurna.

Allah SWT menggariskan tujuh ciri yang perlu ada pada seseorang mukmin untuk berjaya. Daripada tujuh ciri tersebut, hanya dua yang berkaitan dengan hubungan hamba dengan Allah SWT, iaitu khusyuk dalam solat dan memelihara solat; sedangkan lima lagi menyentuh hubungan sesama manusia merangkumi keimanan, menjauhi percakapan dan perbuatan sia-sia, menginfakkan harta dan mengeluarkan zakat, menjaga kehormatan diri, memelihara amanah dan menepati janji.

Islam menuntut ummah berusaha menjadikan hari baharu yang bakal dilalui sentiasa lebih baik berbanding dengan hari semalam. Bagi mencapai maksud tersebut, melangkah masuk ke tahun baharu 2026 Masihi, umah Islam seharusnya meletakkan lima niat dan azam berikut:

Pertama: Khusyuk dalam solat dan memelihara solat. Semaikan niat dan amalkan sifat mengutamakan solat, iaitu dengan meninggalkan apa-apa juga tugas lain sebaik-baik azan berkumandang menandakan masuk waktu solat; menyempurnakan solat sebaik-baiknya secara berjemaah; mengimarahkan masjid termasuk surau yang dibangunkan di bangunan pejabat. Pada masa yang sama, ketua pejabat menunjukkan contoh teladan terbaik dengan bersolat jemaah bersama-sama kakitangan. Setiap hamba Allah SWT perlu melaksanakan solat secara khusyuk dalam keadaan takut dan tenang; takut sekiranya Allah tidak menerima solat, dan pada masa yang sama menyerah sepenuh harap agar solat kita diterima Ilahi.

Kedua: Hindari diri daripada perkara yang sia-sia sama ada secara lisan seperti mengumpat, memfitnah, menyebarkan berita palsu, mengadu domba; ataupun secara perbuatan seperti terlibat dalam kegiatan hiburan secara keterlaluan yang mengkhayalkan, berpelesiran, menonton bahan lucah dan berjudi.

Ketiga: Insaf bahawa pendapatan dalam bentuk gaji dan imbuhan, begitu juga hasil serta keuntungan perniagaan, ternakan dan pertanian ialah rezeki kurniaan Ilahi. Hargai nikmat kekayaan kurniaan Ilahi dengan menunaikan zakat, serta melakukan wakaf, infak dan sedekah, dengan niat membantu kumpulan miskin dan daif yang sangat memerlukan sebagai tanda syukur kita kepada Ilahi.

Keempat: Pelihara kehormatan diri dan ahli keluarga daripada mendekati dan terjerumus melakukan perbuatan zina atau tindakan yang mendorong kepada zina. Bina perasaan kasih sayang dalam keluarga dengan memberikan lebih banyak masa yang berharga kepada mereka.

Kelima: Sempurnakan amanah yang diberikan dan penuhi janji, dengan perasaan insaf bahawa perbuatan memecah amanah dan memungkiri janji ialah sifat orang munafik; perbuatan yang bersifat penganiayaan dan boleh menyebabkan kesusahan kepada pihak yang dianiayai. Sedarilah bahawa perbuatan pecah amanah dan memungkiri janji merupakan hutang yang akan dipersoalkan dan ditimbang pada hari kebangkitan di padang mahsyar.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 2 Januari 2026, bertajuk “Menghadapi Cabaran Tahun 2026”)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi