Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCuti persekolahan hujung tahun yang bermula dari 19 Disember 2025 hingga 10 Januari 2026 merupakan suatu tempoh cuti yang panjang. Selama 23 hari tersebut, anak mempunyai lebih banyak masa bersama-sama keluarga kerana mereka tidak terikat dengan rutin persekolahan. Kesempatan ini wajar dimanfaatkan untuk menyemai iman, memperkukuh adab dan mendidik anak tentang tanggungjawab. Sekiranya masa cuti yang panjang tersebut tidak diisi dengan baik, dibimbangi ruang tersebut akan dipenuhi dengan perbuatan sia-sia atau hiburan melampau yang boleh melalaikan dan melalikan mereka. Allah SWT memperingatkan umat Islam tentang nilai masa seperti mana firman-Nya:

Maksudnya: Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan melakukan amalan soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.
(Surah al-‘Asr 103:1–3)
Waktu cuti sekolah bukan sekadar ruang untuk berehat daripada rutin persekolahan, tetapi ruang masa berharga yang membolehkan keluarga memberikan perhatian kepada pencapaian akademik, perkembangan emosi, pembinaan minda, serta pembentukan adab dan disiplin anak. Ibu bapa hendaklah melapangkan masa mendengar permasalahan anak bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan. Watak dan keperibadian anak amat dipengaruhi oleh didikan, sentuhan kasih sayang dan hubungan yang terjalin antara ibu bapa dengan anak sejak awal mereka dilahirkan sebagaimana sabda Baginda SAW:
![]()
Maksudnya: Tidaklah setiap anak itu kecuali dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah), maka ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.
(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 1358)
Waktu terluang yang tidak diisi dengan bimbingan dan pemantauan ibu bapa atau penjaga boleh mendedahkan anak kepada pelbagai pengaruh negatif seperti ketagihan gajet secara keterlaluan, hiburan melalaikan, tabiat tidur dan makan yang tidak terkawal, pergaulan bebas, berpelesiran sehingga larut malam, perlumbaan haram dan hal yang paling membimbangkan, pengaruh pengambilan dadah.
Bagi anak yang ibu bapa atau penjaganya bekerja, langkah perlindungan dan keselamatan yang berkesan perlu difikirkan agar mereka yang ditinggalkan di rumah terlindung oleh pengaruh yang merosakkan pemikiran, perangai, iman dan adab mereka.
Dalam suasana yang lebih santai semasa cuti sekolah, ibu bapa dan penjaga sebagai pembimbing utama boleh merancang kegiatan yang dapat memperkukuh nilai kerohanian dan nilai murni dalam diri anak. Penuhi masa cuti sekolah mereka dengan kegiatan bermanfaat, bermakna dan menyeronokkan. Antara perkara yang boleh dilakukan termasuklah:
Pertama: Mengatur jadual harian anak secara seimbang, membahagikan masa untuk kegiatan ibadah seperti solat dan membaca al-Quran, menambah ilmu pengetahuan secara santai, beriadah dan membantu keluarga melakukan tugasan harian di rumah. Jadual yang tersusun bukan sahaja membentuk disiplin, malah mendidik anak untuk menghargai masa dan mengenali tanggungjawab. Latih mereka memikul tanggungjawab dengan tugas yang sesuai mengikut usia seperti membersihkan bilik, mengemas, membasuh dan menyeterika pakaian, membantu dalam penyediaan makanan dan menjaga adik. Pendidikan memikul tanggungjawab akan melahirkan generasi yang sedar dan mampu menghadapi cabaran hidup.
Kedua: Mendorong anak menyertai program bermanfaat seperti kelas al-Quran, bengkel kemahiran, kem motivasi dan aktiviti kerohanian di masjid.
Ketiga: Menyediakan bahan bacaan yang bermanfaat di rumah merangkumi buku keagamaan, kenegaraan, kisah perjuangan para rasul dan tokoh kepimpinan yang boleh dijadikan teladan. Budaya membaca boleh dipupuk melalui sesi membaca bersama-sama keluarga atau perbincangan santai tentang isi kandungan buku.
Keempat: Mendedahkan anak kepada kegiatan kemasyarakatan seperti gotong-royong dan program kebajikan bagi membina empati, semangat kerjasama dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat sekeliling.
Kelima: Ibu bapa yang berkemampuan boleh membawa anak melawat pusat pengajian tinggi, pusat sains, muzium, perpustakaan, kedai buku atau melancong tempat yang menzahirkan keindahan alam ciptaan Ilahi seperti air terjun dan hutan lipur yang dapat mengukuhkan akidah mereka.
Semoga langkah yang dirintis dan diamalkan dalam keluarga dapat membangunkan keperibadian anak yang seimbang dari segi rohani, intelek, sosial dan akhlak, seterusnya menjadi aset berharga kepada keluarga, masyarakat, negara dan agama.
Kesimpulannya, anak yang dibimbing dengan iman, adab dan tanggungjawab semasa cuti sekolah, insya-Allah mereka akan membesar sebagai generasi yang kuat jiwanya, berakhlak mulia dan berupaya memimpin masyarakat. Sebaliknya, jika masa cuti sekolah tidak diisi dengan kegiatan yang dapat memperkaya minda, memperkukuh iman dan adab, serta kesediaan anak mengambil tanggungjawab, dikhuatiri mereka berisiko terjebak oleh budaya hiburan melampau, bersikap malas dan kehilangan arah. Oleh itu, ibu bapa dan penjaga hendaklah memainkan peranan membimbing anak pada jalan yang diredai oleh Allah SWT demi mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
Sebagai peringatan, sebelum tahun 2025 berakhir, umat Islam diingatkan agar segera menunaikan zakat harta sekiranya telah memenuhi syarat bagi mengelakkan kelewatan ketika melaksanakan kewajipan tersebut.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 19 Disember 2025, bertajuk “Cuti Sekolah: Masa Terbaik Menyemai Iman, Adab dan Tanggungjawab Anak-anak”)