Diterbitkan pada 3 Februari 2025, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Profesor Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dilantik semula sebagai Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) untuk tempoh tiga tahun, mulai 3 Februari 2025 sehingga 2 Februari 2028.

Beliau telah memulakan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah IKIM pada 3 Februari 2022.

Menurut IKIM, pelantikan semula beliau telah dibuat oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“IKIM mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas pelantikan semula ini dan berharap di bawah kepimpinan Profesor Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam akan membawa IKIM ke tahap yang lebih cemerlang serta memberikan impak yang lebih signifikan kepada masyarakat di negara ini dan pada peringkat antarabangsa,” kata IKIM dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Profesor Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam dilahirkan pada 18 Jun 1966 dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah daripada Universiti Malaya pada tahun 1990.

Menurut IKIM, beliau seterusnya menyambung pengajian pascasarjananya sehingga memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam jurusan undang-undang pada tahun 2007 daripada School of Oriental and African Studies, University of London, United Kingdom.

Tambah IKIM, kerjaya Profesor Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam dalam dunia akademik bermula di Universiti Teknologi MARA dari tahun 1990 hingga tahun 2020.

“Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, International Institute of Advanced Islamic Studies dari 1 April 2013 hingga Februari 2022 serta pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah, Kumpulan CIMB dari tahun 2014 hingga tahun 2017,” tambah IKIM.

Sementara itu, IKIM turut menerima Timbalan Pengerusi yang baharu apabila YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman dilantik memegang jawatan tersebut berkuat kuasa pada 14 Januari yang lalu.

Kredit Foto: Facebook Institut Kefahaman Islam Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi