Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPalembang – Kekuatan umat Islam terletak pada kesatuan hati, kesepakatan fikiran dan kerjasama dalam setiap aspek kehidupan.
“Ummatan Wahidah bermakna kita harus bersama-sama mengatasi segala cabaran yang datang, memajukan pendidikan, ekonomi, sosial dan dakwah Islamiah. Setiap daripada kita bertanggungjawab untuk memperlihatkan contoh teladan yang baik, serta menjadi insan yang memberikan manfaat kepada masyarakat, negara dan dunia.”
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan MAIPs selepas baginda berkenan berangkat menyerahkan sumbangan kecil zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Unit Pengumpul Zakat (UPZ) Yayasan Masjid Sultan Mahmud Badaruddin Jayo Wikramo (Masjid Agung) Palembang, Indonesia.
Turut berangkat mengiringi ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab MAIPs bagi menyalurkan bantuan kewangan yang akan dimanfaatkan oleh masjid-masjid bagi penganjuran program agama, sumbangan kepada fakir miskin atau asnaf.
Nama masjid tersebut adalah bersempena dengan nama Sultan Mahmud Badaruddin Jayo Wikramo, iaitu seorang sultan daripada Kesultanan Palembang yang memerintah pada abad ke-18 dan bukan hanya berfungsi sebagai tempat ibadat, tetapi juga sebagai pusat kegiatan sosial dan keagamaan di Palembang.
Bangunan masjid ini mempunyai nilai seni bina yang unik dengan perpaduan unsur tradisional Melayu dan Arab. Selain sebagai tempat solat, Masjid Sultan Mahmud Badaruddin Jayo Wikramo sering menjadi tempat untuk pelbagai aktiviti keagamaan dan sosial, termasuklah pengajian, ceramah agama dan pelaksanaan ibadat yang melibatkan komuniti setempat.