Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 24 Januari 2025, 23:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Lima agenda pengisian perlu digerakkan secara serius untuk menjayakan tema “Islam Mekar di Bumi Malaysia” yang diperkenalkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), pada tahun ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, lima agenda tersebut ialah hala tuju mengangkat pembangunan al-Quran dan hadis, meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam, memperkukuh aplikasi teknologi dalam tadbir urus Islam, melestarikan kesejahteraan sosial umat serta memperkasakan perpaduan umat dan keharmonian tamadun.

“Sekiranya kelima-lima agenda ini dapat diselaraskan dengan sempurna dan berkesan, agenda tersebut mampu menjadi program pengisian mercu dalam menterjemahkan ‘Islam Mekar di Bumi Malaysia’, seterusnya memacu Pelan Transformasi al-Falah ke arah membina Malaysia MADANI,” jelas beliau ketika berucap dalam Majlis Amanat dan Perhimpunan Agensi di Bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) 2025 di Auditorium Masjid Putra, semalam.

Tema ‘Islam Mekar di Bumi Malaysia’ diangkat kerana tema tersebut mengandungi mesej yang jelas tentang peranan dan tanggungjawab semua warga kerja agensi terhadap cita-cita ke arah mendaulatkan kedudukan agama Islam di negara tercinta ini.

YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar ketika menyampaikan ucapan beliau mengenai tema “Islam Mekar di Bumi Malaysia”.

“Saya berharap dengan pengenalan tema ‘Islam Mekar di Bumi Malaysia’ ini, akan menjadi satu kempen kesedaran baharu dalam kalangan umat Islam di negara kita, seterusnya membina keyakinan, iaitu hakikat kedudukan agama Islam dan kemajuan umat terus mekar dan subur di negara kita,” katanya.

Ujar beliau, semua agensi perlu merencanakan inisiatif dan program yang berimpak bagi memastikan pembangunan al-Quran dan hadis terus mekar dan subur dalam negara.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan berusaha mewujudkan ekosistem terbaik dan dinamik ke arah pembangunan al-Quran dan hadis di negara kita,” tambahnya lagi.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa agenda meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam mesti menjadi keutamaan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kerana masih terdapat jurang dalam kalangan masyarakat berkaitan dengan perkara tersebut.

Beliau menegaskan bahawa semua warga agensi mestilah meningkatkan penguasaan ilmu teknologi dan meningkatkan aplikasinya dalam urus tadbir agensi masing-masing dalam usaha menjayakan misi “Transformasi al-Falah” sejajar dengan hala tuju pembangunan teknologi berasaskan kecerdasan buatan.

Di samping itu, beliau menyeru kepada semua agensi untuk mengangkat golongan mualaf dan orang kelainan upaya (OKU) kerana masih terdapat banyak ruang pembelaan yang perlu diberikan tumpuan terhadap golongan tersebut dari segi pendidikan, perlindungan undang-undang, kebajikan serta peningkatan taraf hidup.

Beliau turut mengulas lanjut bahawa kepentingan masjid sebagai pusat kesatuan umat dan kefahaman fiqh al-ta’ayush (fiqh hidup bersama) dalam kalangan umat Islam dalam usaha merealisasikan agenda memperkasakan perpaduan umat dan keharmonian tamadun.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee; Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Mohd Amran Haji Mat Zain; Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, YBrs. Tuan Haji Namanzee Harris; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, YBrs. Tuan Ameer Ali Vali Mohamed dan para pegawai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Kredit Foto: Facebook - Dato' Setia Dr. Naim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi