Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPadang Besar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyantuni 300 orang asnaf yang terpilih yang melibatkan empat buah kariah menerusi penyerahan sumbangan daripada MAIPs.
Asnaf yang terdiri daripada anak kariah FELDA Mata Ayer, FELDA Rimba Mas, Batu 20 dan Kampung Cantik menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700 seorang dengan jumlah keseluruhan wang zakat yang diagihkan oleh MAIPs sebanyak RM210,000 pada kali ini.
Penyerahan tersebut dilaksanakan bersempena dengan keberangkatan baginda menyempurnakan program Hijrah Minda anjuran MAIPs di Masjid al-Huda, FELDA Mata Ayer.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah,
Kita perlu ingat bahawa setiap kegagalan dalam kehidupan itu bukanlah sebuah pengakhiran, tetapi pelajaran yang berharga.
Jangan berputus asa, walau dalam apa-apa jua keadaan sekali pun kerana setiap langkah kecil kita ke arah kejayaan akan membawa perubahan besar dalam hidup dan masyarakat di sekeliling kita, insya-Allah.

Pada masa yang sama, program tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian seperti saringan kesihatan secara percuma, ceramah yang bertajuk “Jauhi Najis Dadah” daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis dan ceramah “Bangun Jiwa Asnaf” oleh pihak MAIPs.
Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Polis Daerah Padang Besar, YBrs. Tuan Mohd Shokri Abdullah.
