Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT,

Maksudnya: “Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, Dia menciptakan untukmu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenismu sendiri, agar kamu senang hati dan hidup mesra dengannya, dan Dia menjadikan antara kamu (suami isteri) rasa kasih dan sayang serta belas kasihan. Sesungguhnya perkara ini benar-benar mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.”
(Surah al-Rum 21:30)
Istilah walimatulurus berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud perhimpunan pasangan suami isteri, merujuk perihal majlis perkahwinan pasangan yang baru diijabkabulkan. Walimah juga merujuk hidangan makanan yang disediakan untuk para tetamu semasa berlangsungnya majlis perkahwinan dalam semangat meraikan kegembiraan.
Dalam tempoh cuti persekolahan yang bakal bermula pada 18 Januari 2025 hingga 16 Februari 2025 ini, menjadi kebiasaan masyarakat Islam di negara kita melaksanakan majlis perkahwinan. Majlis walimah merupakan detik dan suasana yang sangat dinanti-nantikan, serta memberikan kegembiraan kepada pengantin, ahli keluarga dan para tetamu. Walimatulurus menjadi wasilah yang dapat menghimpunkan dan mempertemukan sanak saudara, sahabat dan taulan untuk saling berukhuwah dan bersilaturahim dalam usaha memenuhi tujuan utama meraikan hari bahagia pasangan mempelai yang baru diijabkabulkan.
Walimah diadakan bertujuan untuk menghebahkan perkahwinan supaya sanak saudara, sahabat, serta jiran tetangga tidak berasa ragu terhadap hubungan pasangan yang telah sah diijabkabulkan sebagai suami isteri. Hal tersebut bertepatan dengan pandangan jumhur fuqaha bahawa hukum mengadakan walimatulurus ialah sunat muakad, iaitu sunat yang amat dituntut untuk dilakukan. Rasulullah SAW bersabda,
Maksudnya: “Hebahkanlah akan pernikahan ini dan lakukanlah di masjid dan palulah (raikannya) dengan memukul gendang (di luar masjid).” (Hadis riwayat al-Tirmizi).
Melaksanakan walimatulurus ialah amalan baik dan merupakan ibadat yang dituntut. Majlis hendaklah dilaksanakan selaras dengan kehendak syarak agar dilimpahi keredaan Ilahi . Oleh itu, semua pihak yang terlibat termasuklah tuan rumah, penganjur majlis, tetamu yang diundangkan dan pengacara majlis, hendaklah memberikan perhatian terhadap beberapa anjuran adab walimatulurus.
Yang berikut merupakan beberapa adab khusus bagi tuan rumah:
Pertama: Melaksanakan majlis secara sederhana dalam semangat kesyukuran mengikut kemampuan kewangan pengantin dan keluarga. Hindarkan niat untuk bermegah-megah yang mempunyai unsur riak sehingga terpaksa mengeluarkan belanja yang besar di luar kemampuan, lalu terjebak menanggung beban hutang.
Kedua: Mengundang tetamu termasuklah kaum keluarga, rakan dan jiran terdekat dengan niat untuk mengeratkan ukhuwah dan persaudaraan, serta menghormati secara saksama setiap orang tetamu tanpa membeza-bezakan antara yang kaya dengan miskin.
Ketiga: Majlis yang dianjurkan hendaklah mematuhi syariat dan hukum-hakam Islam. Makanan yang disediakan perlulah secara sederhana manakala hiasan pula tidak keterlaluan untuk menghindarkan pembaziran. Tuan rumah juga perlu memastikan majlis tidak disulami dengan perkara yang mengundang kemurkaan Ilahi.
Keempat: Tuan rumah dan pasangan pengantin perlu mengatur masa dengan sebaik-baiknya agar kewajipan solat tidak terabai disebabkan kesibukan melayan tetamu atau memenuhi acara sampingan yang mengambil masa yang lama.
Kelima: Memastikan khidmat pengacara majlis dimanfaatkan sebaik-baiknya. Pengacara majlis perlu menggunakan bahasa yang sesuai dan sopan selain menitip pesanan dan nasihat yang berguna. Pengacara juga bertanggungjawab memastikan muzik, lagu dan nasyid yang didendangkan tidak terlalu kuat dan bingit sehingga mengganggu para tetamu.
Sementara itu, yang berikut merupakan beberapa adab sebagai tetamu yang diundang:
Pertama: Berusaha memenuhi undangan majlis walimatulurus kerana majoriti ulama berpendapat bahawa hukumnya ialah wajib melainkan terdapat keuzuran yang tidak dapat dielakkan atau kerana mengetahui majlis tersebut mengandungi perkara yang tidak menepati syariat Islam.
Kedua: Memaklumkan kehadiran seawal mungkin untuk memudahkan urusan persediaan tuan rumah.
Ketiga: Menghormati waktu jemputan dengan tidak hadir terlalu awal ketika tuan rumah belum bersedia atau terlalu lewat sehingga menyulitkan tuan rumah.
Keempat: Tidak mengambil makanan secara berlebih-lebihan atau membawa pulang makanan yang disajikan untuk mengelakkan hidangan untuk tetamu lain tidak cukup.
Kelima: Hadir dengan berpakaian yang menutup aurat, sesuai dan sopan bagi memeriahkan majlis. Selain itu, tetamu yang hadir tidak perlu membawa bersama-sama tetamu tambahan tanpa meminta izin daripada tuan rumah.
Keenam: Mengucapkan tahniah dan mendoakan kebaikan pengantin dan keluarga. Disunatkan memberikan sumbangan atau hadiah mengikut kemampuan bagi menggembirakan tuan rumah.
Ketujuh: Tidak menjadikan bahan umpatan, menyebut-nyebut kekurangan dan kecacatan yang terdapat dalam majlis atau merendah-rendahkan pengantin dan keluarganya.
Kesimpulannya, majlis walimatulurus ialah ibadat dan sunah yang amat dituntut. Ummah dituntut memenuhi adab yang murni ketika menganjurkan atau menghadiri majlis, di samping mengambil peluang meraikan pasangan raja sehari dengan melakukan sebanyak-banyak kebaikan.
Selain itu, umat Islam juga dituntut agar bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT melalui perkahwinan yang disyariatkan kerana Allah SWT telah menjanjikan pelbagai kebaikan dan menyempurnakan kehidupan melalui perkahwinan.
Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 17 Januari 2025, bertajuk “Memenuhi Adab Walimatulurus”.