Syaza Wardina .
Diterbitkan pada 15 Januari 2025, 10:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengetuai sebanyak 111 kali Kayuhan MAIPs Peduli sepanjang tahun 2024.

Kangar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencatat sejarah baharu dengan mengetuai sebanyak 111 kali Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli sepanjang tahun 2024.

Sejak dimulakan pada tahun 2013, program tersebut telah menjangkau sebanyak 978 kali kayuhan.

Pada tahun lalu sahaja, sebanyak 5563 orang asnaf disantuni, menjadikan jumlah keseluruhan penerima manfaat meningkat kepada sebanyak 51 028 individu.

Dari segi agihan zakat, sebanyak RM3,894,100 telah diagihkan pada tahun 2024, membawa jumlah keseluruhan kepada sebanyak RM33,195,600.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor meluahkan rasa bangga terhadap dedikasi Tuanku Syed Faizuddin Putra dan sokongan pelbagai pihak terhadap program tersebut.

“Kayuhan MAIPs Peduli bukan sekadar satu usaha simbolik, tetapi sebuah gerakan transformasi yang melibatkan semua pihak dalam membantu golongan asnaf.

“Pencapaian ini membuktikan komitmen MAIPs untuk terus turun ke lapangan bersama masyarakat,” katanya.

Beliau menambah bahawa program ini memberikan peluang untuk memahami cabaran masyarakat secara langsung dan menyampaikan bantuan dengan lebih berkesan.

Katanya,

Melalui kayuhan ini, kita dapat mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat dan menyampaikan bantuan dengan lebih efektif. Ini adalah sebahagian daripada visi MAIPs untuk terus relevan dan disayangi rakyat.

Tambahnya, kerjasama erat dengan pemimpin kariah seperti amil dan ahli jawatankuasa masjid, serta sokongan agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, mengukuhkan lagi inisiatif ini.

Menurut beliau lagi, inisiatif ini juga seiring dengan Pelan Strategik MAIPs untuk memperkasakan peranan dalam pembangunan sosioekonomi umat Islam di Perlis.

Maklumat tersebut dikongsikan oleh beliau sempena sesi pembuka tirai Kayuhan MAIPs Peduli 2025 di Padang Katong, Kangar, baru-baru ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi