Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Tindakan segelintir pihak yang menyalahgunakan label logo halal pada produk mereka merupakan satu kesalahan yang serius dan bakal berhadapan dengan tindakan penguatkuasaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam kenyataannya pada Isnin lalu menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang isu yang melibatkan integriti dan kepentingan awam.
Menurut beliau, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarahkan untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi melaksanakan tindakan tersebut terhadap pihak yang terbabit.
Tindakan menyalahgunakan label logo halal merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Oleh itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak menyalahgunakan label logo halal pada mana-mana produk yang dikeluarkan.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berasa dukacita dengan kejadian yang berlaku di premis jualan runcit 24 jam yang terletak di Universiti Malaya, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan tersebut.
“Semua pihak dimohon untuk sentiasa merujuk JAKIM dan pihak berkuasa agama Islam negeri dalam isu berkaitan dengan halal,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, pihak JAKIM mengesahkan produk sandwic ham dan keju yang dijual di premis tersebut tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk tersebut bukan pemegang sijil berkenaan.
Hal ini berikutan pertanyaan yang diterima oleh Bahagian Pengurusan Halal JAKIM daripada pengguna media sosial berkenaan dengan produk sandwic ham dan keju yang diragui status kehalalannya.
Oleh itu, pihak JAKIM bersama dengan KPDN telah menjalankan pemeriksaan di lapangan pada 10 Januari 2025 yang lalu.