Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 30 Disember 2024, 10:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) masih bersifat sukarela pada masa ini dan tiada undang-undang yang mewajibkan mana-mana pihak untuk memohon sijil tersebut.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, permohonan sijil tersebut terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian pensijilan halal Malaysia dan perundangan yang berkuat kuasa.

Tambah beliau lagi, kesediaan tersebut akan memberikan nilai tambah kepada pemegang sijil menerusi tahap komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal.

YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin berkata,

Berhubung dengan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mewajibkan pengusaha premis makanan dan minuman memiliki SPHM adalah antara usaha promosi bagi meningkatkan bilangan pemegang SPHM di bawah pentadbiran PBT berkenaan.

Walau bagaimanapun, beliau berharap agar pihak PBT yang berkenaan dapat memberikan penjelasan yang tuntas dan menyeluruh untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan pengusaha dan orang awam berkaitan dengan pelaksanaan dasar baharu tersebut.

Ujar beliau, JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri sentiasa bertindak aktif menggalakkan pengusaha memohon SPHM dan pada masa yang sama menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi pembimbing pada peringkat persekutuan dan negeri.

Hal ini dikatakan demikian kerana sebagai pemegang SPHM, pengusaha akan memberikan jaminan kualiti kepada produk atau perkhidmatan yang dikeluarkan dan nilai tambah kepada perniagaan dalam usaha memperluas pasaran.

Terdahulu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 September 2024 yang lalu bersetuju mengekalkan dasar sedia ada bahawa permohonan SPHM yang dilaksanakan oleh JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bersifat sukarela.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi