Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 29 Disember 2024, 23:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kebimbangan tentang islamofobia sama sekali tidak berbangkit dalam pelaksanaan hukuman sebatan syariah di hadapan khalayak pada Jumaat lalu kerana kehadiran pihak luar untuk menyaksikan hukuman tersebut tertakluk pada kebenaran mahkamah syariah dan lokasi yang ditetapkan, iaitu di masjid.

Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, YBhg. Datuk Haji Mohd Amran Haji Mat Zain dalam kenyataannya baru-baru ini menegaskan bahawa hukuman sebatan tersebut bukan untuk menghukum secara kejam tetapi lebih kepada tujuan mendidik, mencegah dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga nilai agama.

Hukuman ini dijalankan dengan mengambil kira prinsip kemanusiaan dan dilakukan dengan penuh etika.

Tambah beliau lagi, pelaksanaannya juga mematuhi garis panduan dalam prosedur operasi standard (SOP) yang dibangunkan dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa agama negeri.

SOP ini memastikan setiap langkah pelaksanaan hukuman memenuhi kehendak maqasid syariah, termasuk memelihara kepentingan agama, nyawa dan maruah manusia.

“Pegawai perubatan akan memastikan keadaan kesihatan pesalah sebelum dan selepas pelaksanaan hukuman, manakala alat sebatan juga direka khas untuk mengurangkan risiko kecederaan fizikal,” ujar beliau.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa hukuman tersebut disaksikan oleh orang Islam sahaja dan jelas sekali bertujuan untuk menyedarkan umat Islam agar tidak melakukan kesalahan yang sama.

“Saya juga percaya, hukuman sebatan syariah ini akan memberikan maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat bahawa sebatan syariah sangat berbeza daripada sebatan sivil,” katanya.

Jelas beliau, hukuman sebatan yang dilaksanakan di luar penjara dilakukan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah dan enakmen negeri yang relevan.

Mengulas lanjut berkaitan dengan kehadiran khalayak, SOP pelaksanaan hukuman sebatan di luar penjara telah menetapkan bahawa kehadiran sangat terhad dan tertakluk pada perintah mahkamah syariah.

“SOP ini tidak menyebut tentang kehadiran khalayak awam secara umum, apatah lagi dalam jumlah besar,” jelasnya.

Beliau berkata, prosedur tersebut menekankan aspek privasi, pengurusan tertib dan pematuhan kepada undang-undang serta etika untuk memastikan pelaksanaan hukuman tidak disalahertikan atau dijadikan tontonan yang sensasi.

Pelaksanaan hukuman ini hanya boleh disaksikan oleh pegawai kehakiman syariah, pendakwa syarie dan orang yang difikirkan patut hadir oleh mahkamah yang biasanya mengambil kira sensitiviti dan keperluan menjaga maruah serta keselamatan semua pihak.

Isu persepsi masyarakat progresif dan global perlu dilihat dalam kerangka menghormati perbezaan sistem perundangan dan nilai budaya.

“Dalam konteks ini, penting untuk masyarakat memahami bahawa pelaksanaan hukuman ini merupakan sebahagian daripada usaha menegakkan keadilan dan menjaga kesejahteraan masyarakat menurut prinsip agama,” tegas beliau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi