Diterbitkan pada 23 Disember 2024, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengambil tindakan segera berhubung kematian seorang pelajar akibat renjatan elektrik di sebuah sekolah agama di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Menurut Pengarah JAIS, Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad, pihaknya bersama-sama beberapa buah agensi, iaitu Suruhanjaya Tenaga Negeri Selangor, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor/Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Cawangan Elektrik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan pihak sekolah telah turun ke lokasi kejadian pada 19 Disember 2024.

“JAIS kini sedang menunggu laporan rasmi siasatan daripada Suruhanjaya Tenaga Negeri Selangor berhubung keselamatan bangunan terlibat untuk digunakan selain akan meminta laporan agensi teknikal yang lain serta daripada pihak PDRM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya telah pun mengarahkan sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah tersebut dihentikan serta merta bagi mengelak kemalangan berulang dan bagi memudahkan siasatan lanjut dijalankan.

Menurut beliau, satu laporan khas akan dikemukakan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam masa terdekat.

Beliau turut menyatakan bahawa Sekolah KAFA Integrasi Manbaul ULUM, Taman Sri Serdang, Seri Kembangan merupakan sekolah Islam yang didaftarkan di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (Pindaan) 2001 yang ditadbir oleh Lembaga Pengurusan Sekolah.

Selain itu, menurut beliau, JAKIM membantu guru agama dan fardu ain melalui skim guru KAFA JAKIM, manakala kerajaan negeri membantu dalam pemberian buku teks percuma melalui Skim Pinjaman Buku Teks. JAIS dan kerajaan negeri dipertanggungjawabkan untuk memastikan murid-murid belajar mengikut kurikulum agama yang ditetapkan dan premis sekolah sentiasa dalam keadaan selamat serta selesa untuk pelajar dan guru.

Tambah beliau, bangunan yang dibina atau disewa bagi tujuan ini adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya, JAIS mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar yang terlibat dan berharap agar semua pihak Lembaga Pengurusan Sekolah KAFA atau sekolah agama swasta di negeri Selangor sentiasa memantau perkara-perkara yang melibatkan keselamatan guru dan pelajar di sekolah dan mengambil tindakan segera.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi