Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Negara meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam di Wilayah Persekutuan, iaitu RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.
Kedua-dua RUU tersebut dibacakan pada kali kedua dan ketiga oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar di Parlimen pada Khamis lalu bagi meminda beberapa peruntukan dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 (Akta 585).
Sebelum ini, RUU bagi pindaan kedua-dua akta tersebut dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Disember yang lalu.
YB Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam suatu kenyataannya berkata,
Kelulusan kedua-dua RUU ini menjadi lembaran baharu kepada pengukuhan pentadbiran hal ehwal Islam khususnya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa usaha tersebut merupakan bukti dan kesungguhan kerajaan yang komited dalam usaha memperkasakan dan mereformasikan dalam pentadbiran hal ehwal Islam.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atas segala komitmen dan kesungguhan sehingga kedua-dua RUU tersebut diluluskan.