Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 bagi memperkasakan pentadbiran Islam dan mahkamah syariah di Wilayah Persekutuan, semalam.
Kedua-dua RUU tersebut dibacakan kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan bertujuan untuk meminda beberapa peruntukan dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 (Akta 585) yang sedia ada.
“Walaupun Akta 505 telah dipinda beberapa kali, namun terdapat beberapa peruntukan lain yang memerlukan pindaan selaras dengan perkembangan semasa bagi memperkemas tadbir urus hal ehwal agama Islam di Wilayah-wilayah Persekutuan,” kata beliau ketika membacakan RUU tersebut kali kedua di Parlimen.
Selain itu, langkah pelaksanaan pindaan Akta 505 yang mengandungi 39 fasal dilihat sebagai inisiatif yang perlu dibuat untuk memastikan tadbir urus dan operasi agensi-agensi agama dapat berjalan dengan labih baik dan lancar.
“Kertas cadangan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 telah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Khas Bil.1/2024 pada 15 Januari 2024 yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 12 Mac 2024,” jelasnya lagi.
Antara cadangan penambahbaikan yang terdapat dalam pindaan Akta 505 termasuklah penyusunan semula keanggotaan, penambahbaikan operasi pentadbiran dan kewangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan; pelaksanaan hal ehwal wakaf; kuasa untuk menubuhkan dan menguruskan rumah kebajikan, tempat perlindungan dan pusat pemulihan; menaikkan kadar hukuman bagi kesalahan pungutan khairat tanpa kebenaran; membolehkan majlis melantik ketua pendaftar mualaf dan pendaftar mualaf bagi mempercepat proses pendaftaran mualaf.
Di samping itu, penambahbaikan mahkamah syariah melibatkan seksyen baharu yang diperuntukkan untuk membolehkan prosiding pendengaran kes mal dijalankan mana-mana tempat selain mahkamah atau melalui teknologi komunikasi jarak jauh serta memberikan kuasa kepada Ketua Hakim Syarie untuk mengeluarkan arahan amalan supaya mempunyai kuat kuasa perundangan (legislative effect).
Cadangan pindaan tersebut turut memotong peruntukan dalam Akta 505 berkaitan dengan mufti, iaitu Bahagian III Pelantikan Mufti, Kuasa dalam Hal Ehwal Agama dan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak serta Seksyen 96 yang berbangkit daripada penggubalan Akta Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024.
Pada masa yang sama, pindaan Akta 585 yang mengandungi lapan fasal bertujuan untuk memasukkan tatacara yang jelas berkaitan dengan pengendalian kes mal melalui tekonologi komunikasi jarak jauh.
“Secara keseluruhannya, pindaan kepada akta ini (Akta 585) bersifat positif dan akan memberikan manfaat bukan sahaja kepada pengamal undang-undang mahkamah syariah, bahkan kepada masyarakat awam,” tegas beliau.