Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Dewan Undangan Negeri Sembilan meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) (Pindaan) 2024 pada Rabu lalu, sebagai usaha untuk mereformasi pentadbiran hal ehwal Islam di negeri tersebut.
Rang undang-undang tersebut dibentangkan bagi meminda beberapa peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang sedia ada dan telah mendapat sokongan dua per tiga Ahli Dewan Undangan Negeri.
Antara pindaan tersebut termasuklah pindaan Seksyen 2 (1) Tafsiran; memasukkan takrifan yang baharu berkaitan dengan Ahli Sunah Waljamaah, iaitu umat Islam yang berpegang dengan ajaran Islam dan hukum syarak menerusi akidah berdasarkan aliran Asya’irah dan Maturidiyah, fiqah dan syariat berdasarkan mazhab Syafii atau dalam keadaan tertentu mengikut mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali serta tasawuf berdasarkan manhaj Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.
Selain itu, pindaan undang-undang berkenaan turut melibatkan Seksyen 47 (2) Jawatankuasa Fatwa; yang memperincikan jawatankuasa tersebut yang terdiri daripada Mufti, Timbalan Mufti, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sembilan serta Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri hendaklah dianggotai oleh orang Islam yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunah Waljamaah mengikut tafsiran dalam Seksyen 2 (1) sebagai mana yang telah dipinda.
Sebagai rekod, kali terakhir Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 adalah pada 12 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 2012.