Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Generasi muda terutamanya perlu menyedari tradisi ilmu pengetahuan dan budaya pencerahan menjadi teras untuk mengangkat martabat umat serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara madani.
Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Buku Amanah Dakwah dan Mohammad Natsir Ilmuwan Ulung Alam Melayu Abad ke-20 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), malam semalam.

“Kedua-dua perkara tersebut diperlukan untuk melatih rakyat sama ada dalam aspek pendigitalan ataupun kecerdasan buatan yang lebih menuntut dan mencabar rakyat untuk melengkapkan diri dengan kerangka asas berkenaan (ilmu pengetahuan dan budaya pencerahan),” katanya.
Selain itu, beliau menegaskan, generasi muda hendaklah memberikan makna kepada konsep “addabani rabbi fa ahsana ta’dibi” yang bermaksud, “Tuhanku telah mendidikku, maka Dia menjadikan baik adabku” melalui kekuatan ilmu, pembacaan serta penelaahan karya besar dan agung.
Perdana Menteri juga berkata, dalam keadaan seluruh kekuatan penjajahan yang menawan budaya pemikiran golongan elit, ekonomi, politik, pendidikan dan bahasa, masih muncul kelompok yang disebut pondok sebagai benteng terakhir pertahanan umat.
Kita membicarakan tentang bagaimana terhakisnya kekuatan moral umpamanya permisif, kelemahan kita kerana lemah akidah, akhlak dan ilmu menyebabkan budaya gagah Barat menjadi kekuatan lebih besar dapat menyambar, menekan serta mempengaruhi kita yang seolah-olah mengalah.
Bersempena dengan pelancaran kedua-dua buku berkenaan, beliau tidak ketinggalan untuk berkongsi tentang jasa dan sumbangan tiga orang tokoh yang tersohor, iaitu Allahyarham Profesor Ulung Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan, Allahyarham Dr. Razali Nawawi dan Mohammad Natsir dalam majlis tersebut.
“Saya percaya bahawa Kamal Hassan, kalau kita lihat umpamanya, terdapat beberapa rumusan (tentang) beliau – sosok peribadi yang sederhana, ilmu yang disampaikan, kegigihan hikmah beliau dalam dakwah dan perjuangan, kemantapan politik, penolakan kerakusan dan rasuah,” ujarnya.
Allahyarham Dr. Razali Nawawi merupakan naqib pertama yang memperkenalkan manhaj usrah yang lebih teratur dan menggesa keperluan merujuk al-Quran melalui tafsir selain tafsir tradisional.
Jadi, saudara boleh bayangkan selama berpuluh-puluh tahun dengan manhaj yang jelas memberikan pengenalan tentang apa erti Islam, perjuangan dan dakwah yang kemudiannya beliau melakar pada akhir hayatnya.
Beliau berkata, Mohammad Natsir melalui pelibatannya dalam Dewan Dakwah Islamiah Indonesia (DDII) cukup dikenali melalui perjuangan beliau sebagai satu daripada tokoh utama Muslim demokrat dengan pengisian dan makna yang sangat mendalam.
“Ini hikmah seorang negarawan yang kuat semangat dan kesedaran Islamnya tetapi faham tentang kaedah dan budaya. (perkara) itu bagi saya satu pengalaman penting menyebabkan kita memilih jalur tengah, (iaitu) jalur wasatiyah dan tidak memilih untuk merangkul kerangka gerakan Islam di Arab atau India dan Pakistan,” jelasnya.

Sebagai info, pelancaran buku Amanah Dakwah karya Allahyarham Dr. Razali Nawawi dan Mohammad Natsir Ilmuwan Ulung Alam Melayu Abad ke-20 tulisan Allahyarham Profesor Ulung Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan merupakan terbitan bersama Persatuan Wadah Pencerdasan Umat dan Urusan Aras Mega Sdn. Bhd.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Puan Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan; Presiden Wadah Pencerdasan Umat Islam (WADAH), YBhg. Datuk Ahmad Azam Ab Rahman; Pengarah Urusan Aras Mega Sdn. Bhd., YBrs. Tuan Haji Abd Rahman Abd Karem; Pengasas dan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi, YBhg. Datuk Profesor Emeritus Dr. Mohammad Redzuan Othman; dan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), YBhg. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty.