Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperkukuh mutu pendidikan negara dengan memperkenalkan inisiatif pendidikan integrasi yang menggabungkan elemen kemahiran pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan hafazan al-Quran.
Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, YBrs.. Ir. Dr. Mahzan Teh menegaskan komitmen ini semasa Majlis Penutupan Program Libat Urus MARA Bersama Pentadbir Institusi Tahfiz Negeri Selangor 2024 di Auditorium Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, petang semalam.
Dalam ucapan perasmian, beliau menyatakan bahawa MARA telah memperkenalkan program TVET-Tahfiz dan Huffaz Profesional di beberapa Institusi Pendidikan MARA (IPMA) seluruh negara.
Program ini bertujuan untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja mahir dalam bidang teknikal tetapi juga memelihara nilai rohani sebagai penghafaz al-Quran.
“Dengan menggabungkan pendidikan kemahiran dan hafazan, kita memberikan peluang kepada pelajar tahfiz untuk meneroka kerjaya moden tanpa meninggalkan asas hafazan mereka,” kata beliau.
Sejak tahun 2008, MARA telah memulakan usaha integrasi ini melalui program seperti Titian Tahfiz di Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) serta program Huffaz Profesional UniKL Ulul Albab di Universiti Kuala Lumpur.
MARA juga memperluas inisiatif ini ke GIATMARA, yang memberikan peluang lepasan tahfiz untuk mengekalkan hafazan al-Quran sambil mendapatkan kemahiran teknikal.
Sebagai usaha memastikan pelajar tahfiz tidak tercicir daripada pendidikan formal, MARA melalui Yayasan Pelajaran MARA melancarkan Program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Program ini dilaksanakan di Akademi Integrasi Tahfiz Al-Falah, Kuala Selangor dan Akademi Lembah Ilmu (AKLI), Hulu Langat, dengan menyediakan kelas persediaan akademik selama 10 bulan dan semua perbelanjaan program ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Pelajaran MARA.
“Inisiatif ini memberikan peluang kepada para huffaz yang tidak sempat mengikuti pendidikan formal untuk menduduki SPM sebagai langkah awal ke pengajian lebih tinggi,” tambah YBrs. Dr. Mahzan.
Menurut beliau, MARA juga berhasrat melahirkan pelajar holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga kreatif, inovatif dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa.
Melalui ekosistem pendidikan bersepadu yang merangkumi sekolah menengah, kolej dan universiti, pelajar MARA turut diberi modul keusahawanan sebagai persediaan menjadi tokoh korporat masa depan.
“Sistem pendidikan MARA bukan sekadar menyediakan modal insan untuk sektor pekerjaan tetapi juga membimbing mereka menjadi pemimpin berkualiti berteraskan nilai Islam,” ujar beliau.
Majlis ini dihadiri oleh lebih 200 orang pentadbir institusi tahfiz dari seluruh Selangor, dengan harapan maklumat yang diperoleh dapat disampaikan kepada pelajar untuk merebut peluang pendidikan yang disediakan oleh MARA.
“Dengan usaha ini, MARA bukan sahaja menyumbang kepada pembentukan modal insan tetapi juga memastikan pelajar tahfiz dapat terus memelihara ayat suci al-Quran sambil mencorak masa depan mereka,” kata YBrs. Dr. Mahzan.
Program ini mencerminkan visi MARA untuk memperkasakan masyarakat Bumiputera, memastikan keseimbangan ekonomi dan meningkatkan mobiliti sosial melalui pendidikan yang inovatif.
Majlis ini dihadiri oleh tetamu kehormat termasuk Pengarah MARA Negeri Selangor, YBhg. Dr. Ahmad Sabri Kassim; Pengarah KPTM Bangi, YBrs. Encik Ku Mohd Khir Ku Saad; Pengetua Akademi Lembah Ilmu (AKLI), YBrs. Puan Naimah Muhammad; Naib Presiden 2 Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (PERMATA), YBrs. Dr. Muhammad Hafiz Salleh; barisan pengurusan sektor pendidikan MARA; wakil IPMA Negeri Selangor; serta pengurus institusi tahfiz dari dalam dan luar negeri Selangor.