Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Mufti Perlis, YBhg. Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, tauliah mengajar agama diperlukan bukan bertujuan untuk menghalang golongan yang berbeza pemikiran, sektarian serta mazhab.
Beliau menjelaskan, tauliah adalah untuk mengawal orang yang tidak berkelayakan daripada mengajar aliran yang bersalahan dengan nas kitab dan sunah.
Ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Simposium Guru Agama dan Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis Tahun 2024 di Dewan Warisan semalam, beliau berkata, umat Islam di Perlis perlu menginsafi diri dalam polemik persimpangan tersebut kerana ketiadaan tauliah akan mengakibatkan negeri terdedah dengan ajaran sesat.
Tauliah berfungsi sebagai keizinan khalifah dan para pemerintah Islam dahulu dalam soal pengawalan hal ehwal agama.
“Hal ini bukan soal mazhab yang berbeza, tetapi soal cara kita menangani perbezaan pandangan kerana apabila seseorang mengajar yang sebahagiannya menjadi isu, pendakwaan dan seumpamanya,” katanya.
Beliau menafikan bahawa terdapat kesukaran untuk mengajar agama di Perlis, malah banyak penceramah telah diberi tauliah sebelum ini.
Selain itu, beliau menjelaskan, pihaknya cuba melaksanakan yang terbaik dengan bersikap terbuka kepada semua pihak.
“Akan tetapi, garis panduan yang telah ditetapkan perlu dipatuhi,” ujarnya.
Beliau turut berpesan kepada guru agama yang diberi tauliah pada tahun ini supaya bersifat warak dan mengambil semangat para nabi dalam perjuangan dakwah mereka sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 90 Surah al-An’am yang bermaksud, “Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (al-Quran yang aku sampaikan) itu.”
Hal ini dikatakan demikian kerana bukan perkara yang mudah untuk mendapatkan pahala menerusi kaedah menyampaikan ilmu dan guru agama sewajarnya tidak terlalu berkira dalam pemberian upah sehingga menjadi matlamat utama.
Guru agama merupakan penyumbang besar yang mencerdikkan dan memberikan ilmu pengetahuan kepada rakyat.
Agama bukan soal kuasa semata-mata, tetapi agama ialah soal manusia mengamalkannya dengan kesungguhan, kesedaran dan ketakwaan dirinya sendiri.
“Ilmu pengetahuan ialah kurniaan Allah kepada manusia kerana bukan semua orang yang mempelajari ilmu agama faham akan ilmu yang dipelajarinya”, ujarnya.
Setiap orang yang belajar agama hendaklah sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah SWT supaya diberikan kefahaman dalam agama, kemampuan menghuraikannya dan mengetahui dimensinya.
Oleh sebab ilmu merupakan suatu kurniaan, kita perlu bersyukur dengan kurniaan ini sepertimana orang kaya bersyukur dengan kurniaan Allah yang memberikan harta kepadanya.
Antara cara menzahirkan kesyukuran orang yang mempunyai ilmu agama termasuklah dengan menyampaikan ilmu kepada orang lain kerana perbuatan tersebut merupakan suatu kewajipan yang pasti.