Diterbitkan pada 16 November 2024, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Penyakit ‘ain atau dikenali sebagai penyakit pandangan mata yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira lapisan umur. Hal ini berpunca daripada orang yang menyukai sesuatu atau hasad dengki bagi orang yang membencinya sebagaimana disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani.

Demikian menurut Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBrs. Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin dalam rancangan “Hai Selangor” menerusi laman Facebook Media Selangor, semalam.

Menurut beliau, istilah penyakit ‘ain berasal daripada perkataan bahasa Arab bermaksud mata dan pentakrifan perkataan tersebut sebagai perlambangan kepada “mata-mata” yang memiliki sifat hasad akibat iri dan sifat takjub melalui pujian yang diberikan.

Penyakit ‘ain berbeza dengan sihir (kerana) sihir menggunakan perantaraan syaitan dan jin tetapi penyakit ‘ain merupakan panahan mata yang melihat terus, lalu memuji atau ada rasa dengki menyebabkan tubuh kita terkesan dengan hal tersebut.

Selain itu, penyakit tersebut bukan sahaja melanda dalam kalangan bangsa Arab tetapi seluruh umat Islam sebagaimana ditegaskan oleh Rasulullah SAW bahawa penyakit ‘ain adalah benar (al-‘ain haq) dan bukan sesuatu yang bercanggah dengan qada’ dan qadar Allah SWT.

Bahkan, konsep penyakit tersebut telah difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Qalam ayat 51 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian).”

“Kadangkala penyakit ‘ain boleh berlaku secara mengejut apabila seseorang mempunyai kesihatan yang baik sebelum ini, kemudian tiba-tiba jatuh sakit, berkemungkinan satu daripada tanda penyakit tersebut tetapi saya tidak berkata perkara tersebut tidak menjadi suatu kemestian,” ujarnya.

Malah, Rasulullah SAW pernah menyelesaikan masalah penyakit ‘ain yang berlaku kepada dua orang sahabat, iaitu Sahl bin Hunaif yang memiliki kulit tubuh yang cerah, terjatuh tanpa diduga semasa mandi setelah Amir bin Rabiah melihat dan memuji warna kulitnya seumpama wanita.

Kemudian, Baginda SAW mengubatinya dengan memanggil Amir bin Rabiah agar berwuduk, lalu memerintahkannya supaya menyiramkan bekas air wuduknya di bahagian belakang tubuh Sahl bin Hunaif.

Antara langkah untuk mengelakkan daripada penyakit tersebut termasuklah berdoa memohon perlindungan dengan Allah SWT seperti mana Rasulullah SAW mendoakan kepada dua cucu Baginda yang bermaksud, “Aku memohon perlindungan kamu berdua dengan kalimat-kalimat Allah yang Maha Sempurna daripada syaitan, binatang berbisa dan mata yang dengki.”

Beliau turut menegaskan bahawa umat Islam perlu membudayakan amalan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dengan mengucapkan masya-Allah dan “Tabarakallah” atau zikir lain yang mengembalikan semua perkara kepada Allah SWT selepas memuji sesuatu nikmat yang dimiliki oleh orang lain.

Masyarakat perlu mengelakkan diri daripada mempertontonkan sesuatu yang diperoleh dengan keterlaluan kerana Islam mengajar umatnya bersikap sederhana serta tidak melampau atau cuai dalam perkongsian perkara baik kerana semua nikmat dan ujian datang daripada Allah SWT.

Selain itu, sekiranya seseorang sudah terkena pernyakit berkenaan, perkara yang paling mudah untuk diamalkan bermula daripada diri sendiri, iaitu bacaan ruqyah syariah seperti Surah al-Fatihah, ayat Kursi, al-Muawwizatain yakni Surah al-Falaq dan Surah al-Nas, zikir pagi dan petang, zikir selepas solat dan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Pendinding kita paling kuat adalah menjaga solat lima waktu sehari semalam dan itulah kekuatan hubungan kita dengan Allah SWT, kita sendiri ada perlindungan kendiri untuk tidak terkena dalam masalah itu.

Di samping itu, seseorang yang berlarutan menghidap penyakit tersebut hendaklah berjumpa dengan orang yang benar-benar soleh dan mahir untuk menyembuhkan melalui rawatan ruqyah daripadanya.

Kredit Foto: Facebook Media Selangor
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi