Diterbitkan pada 15 November 2024, 09:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan bahawa GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

MKI kali ke-125 yang bersidang pada 20 hingga 22 Rabiulawal 1446 bersamaan dengan 24 hingga 26 September 2024 telah membincangkan tentang Kajian Isu-isu Akidah, Syariah dan Akhlak atau Tasawuf dalam syarikat GISBH.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, YB Dato Dr. Haji Nooh Gadot dalam kenyataannya berkata, muzakarah yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta yang dikemukakan oleh penyelidik dan berpandangan bahawa pegangan dan fahaman yang dibawa oleh Nasiruddin bin Mohd Ali daripada syarikat GISBH dan pengikutnya atau mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan atau kumpulan tersebut adalah sesat daripada ajaran Islam.

Beliau berkata, antara ciri penyelewengan tersebut termasuklah Asy-Syeikh Muhammad Abdullah bin As-Suhaimi atau Syeikh Muhammad Suhaimi merupakan Imam Mahdi; Asaari bin Muhammad akan muncul bersama Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi atau Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai pembantunya pada akhir zaman; dan Asaari bin Muhammad boleh memberikan syafaat kepada pengikutnya.

Selain itu, pengikut ajaran tersebut juga mempercayai bahawa air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat.

Menurut YB Dato Dr. Haji Nooh, GISBH turut mengamalkan ekonomi ma’ash yang mempunyai unsur perhambaan apabila keperluan pengikut akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan sebagai balasan, mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang upah.

Ujarnya lagi, pengikut GISBH juga mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat.

Tambahnya,

Mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan, fahaman dan berkenaan dan dilarang mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikutnya.

“Mereka yang mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut ajaran berkenaan hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha,” katanya lagi.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, Jawatankuasa Muzakarah MKI juga mencadangkan agensi kerajaan berkaitan pada peringkat persekutuan dan negeri membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat) dan memberikan peruntukan atau pembiayaan yang bersesuaian bagi tujuan tersebut.

Beliau berkata, orang ramai juga tidak boleh memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan apa poster, buku, majalah, risalah atau bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip ataupun ditulis dalam semua bentuk keluaran termasuklah filem audio visual, rakaman, laman sesawang dan media cetak atau elektronik.

Dr. Haji Nooh Gadot berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah menyembah maklum pandangan hukum tersebut kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah selaku Pengerusi MKI dan seterusnya ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang Ke-267 pada 23 hingga 24 Oktober 2024.

Dalam hal ini, katanya, pihak majlis mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi