Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 12 November 2024, 08:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berjaya menyalurkan Peruntukan Khas Bantuan Selenggara dan Naik Taraf sebanyak RM119 juta kepada 1553 buah Institusi Pendidikan Islam (IPI) hingga bulan ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, peruntukan khas tersebut yang berjumlah RM120 juta diterima daripada Kementerian Kewangan Malaysia pada tahun ini berdasarkan syiling peruntukan sebanyak RM150 juta.

“Jumlah tersebut ialah peruntukan secara sekali beri (one off) sebagai bantuan untuk disalurkan kepada IPI yang berdaftar dengan pemegang taruh di negeri di seluruh Malaysia”, katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Ujar beliau,

Peruntukan khas berkenaan tidak diberikan secara automatik kepada IPI sebaliknya perlu dimohon oleh semua IPI yang berdaftar melalui pemegang taruh negeri sebelum dikemukakan kepada JAKIM bagi pertimbangan dan kelulusan.

Selain itu, proses pencerakinan maklumat permohonan, iaitu latar belakang dan aspek keperluan sebenar IPI menjadi elemen utama yang dipertimbangkan untuk memastikan pematuhan terhadap ketelusan tatakelola dalam penyaluran peruntukan.

Berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan Bantuan Selenggara dan Naik Taraf IPI JAKIM yang berkuat kuasa, skop projek selenggara dan naik taraf yang layak dipertimbangkan bagi pembiayaan bantuan peruntukan khas tersebut meliputi enam kluster.

Enam kluster tersebut merangkumi aspek keselamatan, selenggara dan naik taraf infrastruktur, pencegahan kebakaran, pendawaian elektrik, selenggara dan naik taraf bangunan serta sistem perpaipan.

“Kategori IPI yang layak memohon bantuan tersebut ialah Institusi Pondok Swasta, Institusi Tahfiz Swasta, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Swasta, Sekolah Agama Negeri, Sekolah Menengah Agama Negeri dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di premis bukan kerajaan yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri,” jelasnya.

JAKIM juga telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkuasa agama negeri untuk menjelaskan prosedur berkaitan dengan penyaluran peruntukan khas tersebut.

Beliau mengulas perkara tersebut berikutan dakwaan oleh sebuah akaun media sosial berkaitan dengan jumlah sebenar peruntukan yang sepatutnya disalurkan oleh JAKIM kepada IPI di seluruh Malaysia untuk tahun ini.

Kredit Foto: Facebook - Dato' Setia Dr. Naim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi