Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Platform Syarahan Umum Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim memperkukuh hubungan strategik Malaysia bersama-sama Universiti Al-Azhar, sebuah institusi ilmu Islam yang ulung di dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar berkata, pada masa sama, platform tersebut merupakan pengiktirafan besar Universiti al-Azhar kepada ketokohan dan kepimpinan YAB Perdana Menteri.
“Sebagai sebuah institusi ilmu Islam yang membawa manhaj kesederhanaan dan menjadi asas ketamadunan ummah, Universiti al-Azhar telah memberikan sumbangan besar dalam menyatupadukan umat Islam serta membina generasi ilmuan di serata dunia,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru semua pihak agar benar-benar menghayati nilai Islam serta menterjemah kepada tindakan yang terbaik demi negara dan umat seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam syarahan umum tersebut.
Selain itu, katanya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan meneruskan usaha mengambil tindakan atas saranan YAB Perdana Menteri dalam Syarahan Umum tersebut.
Tambah beliau, saranan YAB Perdana Menteri adalah agar anak muda Islam diperlengkap dengan ilmu keagamaan termasuklah ilmu al-Quran, selain turut diberi pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) agar berlaku integrasi ilmu.