Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Majlis Sama’ Hadis Sahih al-Bukhari Antarabangsa 2024 buat julung-julung kalinya dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mula membuka tirainya di Masjid Putra, semalam.
Majlis pembukaannya disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dengan tema “Menyemai Ilmu, Mengukuh Perpaduan, Menjulang Negara Madani”.
YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam ucapannya berkata,
(Program ini dianjurkan) bagi meneruskan agenda kesatuan umat untuk menuju (matlamat) al-falah dengan berpaksikan kalimah tayyibah melalui bicara kitab Sahih al-Bukhari.
Ujar beliau lagi,
Program ini sudah pasti menjadi titik sentuh atau ‘touch point’ kepada sebaran perkataan yang baik atau kalimah tayyibah sebagaimana Allah SWT berfirman dalam Surah Ibrahim ayat 24 yang bermaksud, ‘perkataan yang baik itu umpama pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit.’
“Kehadiran sekumpulan besar daripada ulama dan pemikir mencerminkan komitmen kita untuk mengibarkan panji kesatuan umat Islam, memelihara tradisi keilmuan dan mengukuhkan hubungan pemikiran dengan ilmu”, katanya.

Selain itu, Islam ialah agama yang memberikan perhatian besar terhadap ilmu kerana ilmu dapat membangunkan manusia dari segi pemikiran, akhlak, material, malah dapat membina sebuah negara yang bertamadun.
Jelas beliau,
Tidak diragukan lagi bahawa para ulama menyebarkan perkataan yang baik untuk memperkukuh perpaduan dan kedamaian sejajar dengan ajaran Islam yang menganjurkan kesatuan dan menolak perpecahan.
Keruntuhan tamadun sering kali disebabkan oleh persengketaan dalaman manakala tamadun yang berjaya membawa harapan dan matlamat yang besar.
Menurut beliau, kejayaan Rasulullah SAW membina sebuah bandar yang bertamadun telah menjadi contoh kepada semua negara Islam dan mendorong pihaknya turut berusaha untuk merealisasikan gagasan Malaysia MADANI menerusi nilai-nilai yang diambil daripada penubuhan bandar Madinah lebih dari 1400 tahun yang lalu.
Beliau juga mengajak umat Islam di Malaysia untuk memperkasakan usaha intelektual dengan peluasan program keilmuan, di samping memperkukuh institusi agama serta meningkatkan komitmen untuk menghadapi cabaran semasa.
Kata beliau,
Perpaduan umat mestilah berdasarkan manhaj Ahli Sunah Waljamaah kerana pendekatan manhaj ini mengutamakan kesederhanaan dalam dakwah dan mempromosikan pemahaman Islam sebenar yang memberikan manfaat kepada semua pihak.
Di samping itu, program tersebut perlu dijadikan sebagai platform untuk menyedarkan umat Islam tentang pentingnya menjauhi pemikiran ekstrem dan setiap perbezaan menjadi sumber kekuatan manakala setiap kesepakatan menjadi asas perpaduan.
Antara pengisian lain yang diadakan dalam majlis pembukaan tersebut termasuklah tausiyah khas daripada Profesor Dr. Sheikh Yusri Rushi Sayyid Jabr al-Hasani dari Mesir dengan tajuk Madkhal Sahih al-Bukhari, iaitu Pengenalan Kitab Sahih al-Bukhari yang menjelaskan riwayat hidup dan keperibadian Imam al-Bukhari, sejarah pengumpulan hadis sahih serta latar belakang kitab Sahih al-Bukhari.

Sementara itu, program tersebut berlangsung selama 12 hari bermula semalam hingga 21 November 2024 menampilkan ulama terkemuka dari seluruh dunia termasuk Malaysia yang akan menyampaikan syarahan umum berkaitan dengan kitab Sahih al-Bukhari.
Turut hadir dalam majlis pembukaan tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, YBrs. Dr. Mohamad Kori Jusoh; Mufti Wilayah Persekutuan, YBhg. Sahibus Samahah Datuk Profesor Madya Dr. Luqman Haji Abdullah; Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), YBhg. Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; dan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, YBrs. Ustaz Zamri Zainal Abidin.