Syaza Wardina .
Diterbitkan pada 5 November 2024, 03:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis sidang Pertama bagi tahun 2024 di Muzium Kota Kayang, baru-baru ini.

Kuala Perlis – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, masyarakat Melayu perlu mengatur strategi untuk mendepani cabaran khususnya peminggiran tulisan Jawi kerana tulisan ini menjadi identiti masyarakat Melayu itu sendiri dan perlu mendapat kerjasama dari pelbagai pihak.

Tulisan Jawi juga perlu dilestarikan bagi membetulkan persepsi generasi kini yang beranggapan tulisan Jawi tidak relevan dan bernilai.

Titah baginda,

Tulisan Jawi memiliki ‘roh’ dan identiti tersendiri yang harus diperkenalkan kepada generasi hari ini dan yang seterusnya agar tidak menghakis jati diri bangsa Melayu.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis sidang Pertama bagi tahun 2024 di Muzium Kota Kayang, baru-baru ini.

“Setiap bangsa di dunia mempunyai nilai warisan yang perlu dijaga dan dipelihara dengan baik.

“Bangsa Melayu merupakan bangsa hebat dan bertuah kerana mempunyai tulisan Jawi sebagai khazanah yang bernilai dan menjadi lambang kegemilangan tamadun Melayu dalam bidang keilmuan suatu ketika dahulu,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs bertitah, “Generasi kini perlu menyemai sifat kecintaan dan menghargai seni tulisan Jawi sebagai warisan bangsa Melayu.”

“Tulisan Jawi perlu diajar kembali dan diperkasakan bagi memartabatkan kembali tulisan Jawi sebagai seni warisan Melayu hingga ke persada antarabangsa,” titah baginda.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi