Diterbitkan pada 21 Oktober 2024, 21:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Padang Besar – Agrobank sumbangkan dana kewangan sosial Islam melalui Program Hijrah Asnaf Tanaman Kelapa bernilai RM1,077,100 di Hutan Simpan Mata Ayer Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar melalui kerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta komuniti setempat Felcra Lubuk Sireh, baru-baru ini.

Upacara perasmian disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Datuk Ahmad Badlishah Raja Hussin dan Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan penanaman sepohon kelapa dalam majlis sumbangan dana kewangan sosial Islam oleh Agrobank di Hutan Simpan Mata Ayer Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, DYTM Raja Muda Perlis menitahkan bahawa usaha berterusan untuk memperkasakan golongan asnaf kini bukan hanya dengan bantuan material tetapi juga dengan peluang untuk golongan ini membina masa depan yang lebih cerah melalui aktiviti peningkatan ekonomi dan keusahawanan.

Menurut baginda, program seumpama ini merupakan satu daripada contoh yang baik apabila institusi korporat seperti Agrobank dan masyarakat dapat berganding bahu dalam usaha memajukan agenda kebajikan dan pembangunan masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Tuanku Syed Faizuddin Putra percaya, dengan pengalaman dan infrastruktur yang dimiliki oleh Agrobank, mereka akan dapat melaksanakan program ini dengan jayanya.

Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penanaman sepohon kelapa dan menyaksikan simbolik sumbangan dana zakat dari Agrobank kepada seorang wakil daripada 10 orang asnaf yang terpilih.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Agrobank kerana berjaya menguruskan pengagihan zakat secara inovatif melalui pelaksanaan program pembangunan usahawan secara berstruktur dan berimpak tinggi.

Turut hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi