Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Program Falak Fest 2024 merupakan usaha dan manifestasi untuk memperkasakan kompetensi profesionalisme dalam bidang falak yang bukan sahaja semakin diminati oleh masyarakat Islam di Malaysia, malah menarik perhatian pelbagai pihak berkepentingan dalam bidang tersebut.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, perkara ini berlaku disebabkan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan, data raya, internet benda dan pelbagai inovasi lain dalam era Revolusi Industri 4.0 berkembang begitu pesat dan memberikan banyak manfaat.
YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata,
Teknologi terkini telah mentranformasikan banyak aspek kehidupan termasuklah bidang falak yang sebelum ini bersandarkan kaedah tradisional.
“Namun begitu, (teknologi terkini) memerlukan kepakaran atau kemahiran untuk mengendalikan peralatan yang (turut) berkembang bersama teknologi ini dan dilihat memberikan hasil yang lebih baik dan tepat,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmiannya dalam program Falak Fest 2024 anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Dewan Datuk Mohd Shahir, ILIM, semalam.
Oleh itu, latihan sepanjang hayat amat diperlukan untuk memastikan pengetahuan ahli falak terus relevan dan seiring dengan kemajuan teknologi terkini kerana ilmu falak ialah bidang yang dinamik.

Selain itu, peningkatan profesionalisme dalam kalangan pakar falak membolehkan mereka mengesahkan kebenaran dan keaslian objek cerapan berdasarkan pengetahuan dan kefahaman yang dimiliki.
Ujar beliau,
Begitu juga dengan perkara lain kerana cakerawala ini tidak statik dan (sentiasa) bergerak, ada perubahan yang berlaku. Oleh sebab itu, banyak kiraan dan cerapan yang dilaksanakan bagi mendapatkan data yang lengkap dan maklumat yang sahih untuk membantu ahli falak menentukan banyak perkara dalam kehidupan umat Islam.
Jelas beliau,
Dalam era serba moden ini, kita perlu sedar bahawa ilmu falak memainkan peranan yang sangat penting bukan sahaja dalam konteks agama malah juga dalam perkembangan kehidupan, alam, tekonologi dan sains.
Beliau menegaskan, Falak Fest 2024 merupakan platform yang baik untuk meneroka potensi ilmu secara kolektif dan tidak mustahil program ini akan diperluas ke peringkat Asia Tenggara pada tahun hadapan untuk mendapatkan input berharga dari negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

Di samping itu, JAKIM akan terus komited memperkasakan bidang falak agar terus berkembang dan memberikan manfaat kepada umat Islam sebagai suatu sumbangan yang berharga dalam kemajuan tamadun manusia.

Sementara itu, program Falak Fest 2024 dengan tema “Transformasi Profesionalisme Falak” diadakan buat julung-julung kalinya melibatkan sebanyak 208 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pelajar, penjawat awam dan sebagainya.

Antara pengisian yang diadakan sepanjang program tersebut berlangsung termasuklah Seminar Pemerkasaan Kompetensi Falak, cerapan objek langit, pameran reruai falak dan diskusi falak.

Seminar Pemerkasaan Kompetensi Falak menampilkan agamawan dan tokoh falak tersohor dalam negara, iaitu Mufti Negeri Sarawak, YBhg. Sahibus Samahah Datu Haji Kipli Haji Yassin; mantan Profesor Universiti Sains Malaysia dan Pengasas Pusat Falak Sheikh Tahir, Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Dr. Mohammad Ilyas Shahabuddin; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, YBrs. Tuan Haji Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; mantan Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin, YBrs. Dr. Baharrudin Zainal; dan Pensyarah Kanan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, YBrs. Ts. Dr. Muhamad Syazwan Faid.