Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 16 Oktober 2024, 10:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam suatu kenyataannya hari menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 digubal secara tergesa-gesa serta dipengaruhi oleh pihak tertentu.

Beliau berkata,

Penggubalan RUU Mufti ini ialah usaha yang diambil oleh Kerajaan, bertujuan untuk memartabatkan dan memperkasakan institusi Mufti di Wilayah-wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, bidang kefatwaan dan pembangunan hukum syarak akan dapat ditadbir secara teratur, telus dan berwibawa menerusi pemerkasaan RUU tersebut ke arah meningkatkan keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam di Malaysia.

Suatu Jawatankuasa Penggubalan RUU Mufti (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2024 telah ditubuhkan bertujuan untuk mengkaji dan menggubal suatu akta yang khusus untuk mufti pada tahun 2021.

Jawatankuasa Penggubalan tersebut dianggotai oleh beberapa orang wakil daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor.

Ujar beliau,

RUU Mufti telah melalui suatu proses penggubalan yang teliti dan panjang bagi memastikan suatu RUU yang komprehensif digubal serta teratur dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Oleh itu, beliau menasihati semua pihak supaya berhati-hati dengan sebarang kenyataan yang tidak bersandarkan fakta kerana perbuatan tersebut boleh mencetuskan polemik terhadap usaha murni ini.

Kredit Foto: Facebook - Dato' Setia Dr. Naim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi