Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 15 Oktober 2024, 21:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya boleh mengambil tindakan terhadap ajaran sesat apabila pihak berkuasa agama negeri sudah membuat pewartaan fatwa sebagai punca kuasa undang-undang untuk penguatkuasaan di bawah kesalahan jenayah syariah.

Demikian penjelasan yang ditegaskan oleh Ketua Penolong Pengarah E2, Cawangan Khas Bukit Aman, YBrs. Tuan DCP Zainudin Haji Ahmad semasa membentangkan tajuk “Ancaman Fahaman dan Ajaran Sesat terhadap Negara” dalam Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Melaka Tahun 1446H/2024M di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka, semalam.

Oleh itu, PDRM Bukit Aman (Cawangan Khas) akan mengambil kira aspek akidah untuk mengambil tindakan terhadap ajaran sesat di Malaysia menerusi perkongsian maklumat bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau pihak berautoriti agama di negeri supaya ajaran sesat tersebut telah difatwakan terlebih dahulu untuk mengesahkan sesebuah ajaran yang disebarkan sama ada sesat ataupun tidak.

Selain itu, aspek keselamatan turut menjadi tumpuan PDRM untuk menilai gerakan yang bermula daripada ajaran sesat, ekstremis, radikal atau pengganas yang diatur supaya mempengaruhi individu atau masyarakat bertindak lebih agresif melalui pengedaran senjata.

YBrs. Tuan DCP Zainudin Haji Ahmad berkata,

Dulu-dulu mereka akan pergi ke Timur Tengah untuk berjihad, tetapi hari ini kita tengok trend itu sudah mula melakukan serangan terhadap balai polis dan membuat apa-apa juga kegiatan yang boleh mengancam dan memudaratkan keselamatan Malaysia.

Beliau berkongsi beberapa punca pengembangan ajaran sesat di negara ini akibat daripada kekeliruan, doktrin dunia akhir zaman, pencarian Imam Mahdi, ketamakan kuasa dan pengaruh, ketidakpuasan hati terhadap agama arus perdana dan ideologi luar.

Menurut beliau, kebanyakan motif ajaran sesat bertujuan untuk membentuk personaliti seseorang yang dibina daripada fahaman yang muncul, pengumpulan kekayaan dan sumber ekonomi, manipulasi psikologi, ketaatan mutlak, radikal dan ekstremisme serta pernikahan mudah seperti fahaman Syiah.

Penyebaran ajaran sesat juga memiliki modus operandi tertentu dan berperingkat melalui pendekatan secara rahsia dengan menggunakan agama sebagai alat, mengumpulkan infak dan dana ke arah kekuatan ekonomi, pengaruh melalui karisma pemimpin untuk mendapatkan sokongan pada peringkat awal hingga kepada fasa jihad al-qital (peperangan) melibatkan keganasan dan konflik bersenjata pada peringkat akhir.

Ujar beliau,

Walau bagaimanapun, cabaran bagi pihak berkuasa seperti PDRM adalah untuk membuktikan ajaran sesat ini sebelum tindakan di bawah enakmen jenayah syariah negeri boleh diambil.

Dahulu, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membantu menyelamatkan negara terutama ketika gerakan Jemaah Islamiah aktif di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, di mana banyak letupan berlaku dan membolehkan negara kita bertindak lebih awal.

Jelas beliau lagi,

Penting untuk kita memahami bahawa ancaman daripada ajaran sesat dan radikal ini masih wujud dan kita perlu sentiasa peka dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengekang penyebarannya.

Di samping itu, terdapat 154 kumpulan ajaran sesat yang dikenal pasti di Malaysia, tetapi hanya lapan kumpulan yang berada bawah kajian dan pemantauan PDRM, iaitu Perjalanan Mimpi yang Terakhir (PMYT), Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN), Millah Abraham, Syiah, Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), Ajaran Terpal, Ayah Pin dan Ajaran Suhaini.

Kata beliau,

Tugas tanggungjawab PDRM ada dua; satu ialah pencegahan dan satu lagi ialah siasatan selepas berlaku sesuatu. Oleh sebab itu, dalam penguatkuasaan undang-undang ini, ada subjektif dan objektif.

Kami dalam (PDRM) Cawangan Khas menjalankan kerja secara subjektif yang mana benda belum berlaku, kita menjangka dan mengambil tindakan proaktif.

Akan tetapi, pihak Jabatan Siasatan Jenayah menjalankan secara objektif, (apabila) berlaku sesuatu, buat siasatan dan (kita) tangkap.

Beliau menjelaskan sasaran pengikut ajaran sesat tidak sama seperti dahulu, iaitu individu yang cetek kefahaman agama, golongan yang menghadapi krisis kehidupan, miskin dan terpinggir, wanita, golongan radikal, pengikut setia serta golongan yang menolak pemerintah sedia ada; tetapi mereka kini lebih bijak menyasarkan kepada kelompok agama, orang politik dan ketua-ketua jabatan.

Beliau turut mengaitkan tragedi berdarah yang pernah berlaku di negara merupakan hasil daripada fahaman dan ajaran yang salah seperti kes serangan balai polis di Ulu Tiram, Johor pada Mei 2024 berpunca daripada kelompok ajaran sesat yang radikal.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi