Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAyer Keroh – Akidah Ahli Sunah Waljamaah yang merupakan pegangan majoriti umat Islam mempunyai keistimewaan tersendiri berdasarkan prinsip kesederhanaan dan tidak cenderung kepada pendekatan ekstrem.
Demikian menurut Pensyarah Kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, YBrs. Dr. Azmil Zainal Abidin semasa sesi pembentangan beliau yang bertajuk “Fatwa-fatwa Semasa dalam Memelihara Keutuhan Ahli Sunah Waljamaah” dalam Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Melaka Tahun 1446H/2024M di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka, semalam.
Hal ini demikian kerana pendirian akidah tersebut memiliki kaedah, disiplin dan nilai ilmiah yang didukung oleh para ulama yang bersikap amanah terhadap sumber al-Quran dan hadis, serta tidak mengabaikan pendekatan yang diterima secara muktabar untuk memahami kedua-dua sumber hukum tersebut seperti ijmak dan akal.
Prinsip kesederhanaan dalam akidah Ahli Sunah Waljamaah mengajar umatnya menggunakan pujukan demi membina dan membaja naluri bertuhan dalam jiwa manusia, seterusnya menjadi sebuah potensi perkembangan dakwah dan tamadun yang sebenar.
YBrs. Dr. Azmil Zainal Abidin berkata,
Pusaka ajaran Ahli Sunah Waljamaah ditunjangi oleh sistem kesultanan yang menjadi ketua agama, sama ada Yang di-Pertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan ataupun sultan di negeri-negeri Tanah Melayu.
Jadi, ramuan Ahli Sunah Waljamaah itu sebenarnya sudah banyak membantu kita untuk mengekalkan kestabilan dan keamanan di rantau ini dalam kehidupan beragama.
Menurut beliau, Melaka merupakan tonggak kepada perkembangan Islam pada suatu ketika dahulu telah meletakkan acuan akidah Ahli Sunah Waljamaah bertapak kukuh di Nusantara.
Hal ini menunjukkan keserasian penerimaan dan pengamalan masyarakat yang sangat setia memihak kepada iktikad akidah tersebut.
Ujar beliau lagi,
Keberkatan ajaran Ahli Sunah Waljamaah telah dijiwai oleh umat Islam dari sudut sikap pendekatan mereka yang sederhana dalam pelbagai aspek.
Perkara ini tidak seperti (beberapa buah negara) di Timur Tengah, kalau kita lihat ada pergolakan yang seolah-olah penyelesaiannya adalah pertumpahan darah dan masyarakat yang berantakan.
Selain itu, pirinsip kesederhanaan lain yang terkandung dalam aliran akidah tersebut adalah tidak menghukumkan mereka yang sesat atau menyimpang daripada akidah Islam sebagai kafir kerana terdapat ruang bagi mereka yang masih tidak mengingkari perkara mandatori dalam akidah seperti mukmin mubtadi’, iaitu mereka yang mencipta perkara yang tidak ada sandaran dalil daripada Rasulullah SAW; atau mukmin fasik, iaitu mukmin yang keluar daripada ketaatan.
Jelas beliau,
Maka sebab itulah mereka yang terlibat dalam panel kajian akidah, jabatan mufti dan para penyelidik tidak mudah melabelkan kafir terhadap seseorang apabila dikatakan sesat .
Antara kelompok yang tergolong dalam akidah Ahli Sunah Waljamaah yang khusus dan terkenal termasuklah aliran Asya’irah dan Maturidiyah seperti yang dinukilkan oleh Murtada al-Zabidi dalam kitabnya, Ithaf al-Sadah al-Muttaqin bi Syarh Ihya’ Ulum al-Din.
Beliau menegaskan bahawa aliran Asya’irah dan Maturidiyah memiliki pengaruh yang besar sehingga sukatan aliran akidahnya membentuk pemikiran umat Islam untuk mengenal Allah SWT menerusi pendekatan pengajian sifat 20 sebagai sebuah tradisi yang masih relevan untuk memanfaatkan potensi, bakat dan daya kecerdikan intelek.
Malah, subjek kerasulan (al-nubuwat) dalam Ahli Sunah Waljamaah telah memberikan penyelesaian dan ramuan yang terbaik untuk mewujudkan toleransi kaum dan perpaduan tanpa perlu mengambil acuan daripada Barat seperti pluralisme.
Justeru, Ahli Sunah Waljamaah yang memiliki perbahasan akidah yang matang dan karyanya disusun dengan penuh teliti wajar dijadikan sebagai rujukan kepada institusi fatwa di Malaysia agar isu yang timbul dapat ditangani dengan adil.
Beliau turut menyeru umat Islam supaya memahami kepentingan mempertahankan akidah Ahli Sunah Waljamaah sebagai bentuk tafsiran Islam yang asas kepada kehidupan beragama di negara ini.