Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Konvensyen Perpaduan Umat Islam 2024 yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam, menetapkan sembilan resolusi untuk diambil perhatian oleh umat Islam di Malaysia.
Resolusi daripada Sekretariat Konvensyen Perpaduan Umat Islam disampaikan oleh Setiausaha Agung, Pertubuhan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI), YBrs. Dr. Syed Shahridzan Syed Mohamed.
Antara resolusi konvensyen yang dinyatakan termasuklah akidah Ahli Sunah Waljamaah yang berlandaskan mazhab Asya’irah dan Maturidiyah merupakan tonggak utama dalam memelihara kesucian Islam daripada ancaman pemikiran yang sesat dan ekstrem, serta usaha mempertahankan akidah tersebut harus melampaui batasan sentimen politik, masalah peribadi dalam kalangan pendakwah serta perbezaan dalam hal furuk.
Kedua, perbezaan pandangan dalam kalangan agamawan Ahli Sunah Waljamaah, sama ada dalam cabang akidah, fiqah atau tasawuf mesti diurus dengan penuh hikmah dan adab untuk mengelakkan perpecahan yang boleh mencetuskan fitnah besar dan melemahkan ikatan persaudaraan.
Ketiga, agensi agama persekutuan perlu memainkan peranan dengan penuh komitmen dan menjiwai keputusan yang telah diputuskan oleh Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja bagi memastikan tiada perpecahan berlaku dalam kalangan umat Islam.
Keempat, Rang Undang-undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan perlu diluluskan secepat mungkin dan tidak harus ketinggalan dalam usaha memartabatkan Islam kerana isi kandungannya tidak jauh beza dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri lain seperti Johor, Sabah dan Melaka.
Kelima, RUU Mufti Wilayah Persekutuan tidak merendahkan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong kerana mufti membantu dan menasihati baginda berkenaan dengan perkara hukum syarak yang telah dipraktikkan di seluruh negeri dalam Malaysia sejak dahulu, malah dakwaan kelulusan RUU Mufti Wilayah Persekutuan memberikan kuasa mutlak merupakan perkara yang tidak berasas.
Keenam, RUU Mufti Wilayah Persekutuan tidak mengganggu gugat urusan orang bukan Islam, jauh sekali untuk mengikat negeri lain kerana bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Mufti Wilayah Persekutuan dalam rang undang-undang tersebut terhad kepada urus tadbir fatwa, falak, penentuan arah kiblat dan perkara lain yang berkaitan dengan amalan orang Islam di Wilayah-wilayah Persekutuan.
Ketujuh, RUU Mufti Wilayah Persekutuan bukan perkara baharu dalam negara, tetapi penambahbaikan kepada akta sedia ada dan pengamalan sebelum ini telah terbukti tidak mengganggu golongan bukan Islam atau hak negeri Sabah dan Sarawak.
Kelapan, agensi agama pada peringkat persekutuan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Mufti negeri-negeri mestilah dipelihara dan dipertahankan kesuciannya serta sebarang usaha untuk merendahkan dan memperolok-olokkan agenda agama mestilah diambil tindakan segera.
Kesembilan, kerajaan perlu memandang serius perpecahan dalam kalangan ilmuwan Islam yang sering menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat berpandukan kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri dan juga MKI bagi memastikan tindakan para ilmuwan Islam berlandaskan kebenaran.
Turut hadir dalam konvensyen tersebut ialah mufti, tokoh agamawan dan pendakwah tersohor negara, iaitu Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah YBhg. Datuk Profesor Madya Dr. Luqman Haji Abdullah; Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Sahibus Samahah YBhg. Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar; Mufti Kerajaan Negeri Pahang, Sahibus Samahah YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim; YBrs. Habib Ali Zainal Abidin Abu Bakar al-Hamid dan YBrs. Ustaz Mohammad Wadi Annuar Ayub.