Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 4 Oktober 2024, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Rakyat Malaysia, khususnya umat Islam perlu mengambil perhatian tentang bahaya jenayah qazaf dan menjauhi perbuatan tersebut untuk membina keamanan dalam negara.

Demikian ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar ketia menjadi panel dalam Forum Perdana Ehwal Islam yang bertajuk “Jenayah Qazaf” di Studio Utama Yusuf, Kompleks Islam Putrajaya, semalam.

YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata,

Hikmah Islam menjadikan qazaf sebagai sesuatu jenayah kerana perbuatan menghina dan menuduh seseorang dengan tuduhan zina atau liwat merupakan tuduhan yang sangat serius membabitkan maruah seseorang, apatah lagi orang yang dituduh terdiri daripada orang yang dihormati dan dianggap baik dalam kalangan masyarakat.

Justeru, tuduhan zina atau liwat akan menggugurkan nilai keperibadian dan karamah insaniah seseorang, malah Allah SWT memberikan amaran tentang kesan jenayah tersebut dengan memerintahkan umat Islam menghormati dan menjaga nilai keperibadian seseorang.

YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar etika menjadi panel Forum Perdana Ehwal Islam.

Oleh sebab itu, hukuman yang ditentukan oleh Allah SWT dalam ayat 4 Surah al-Nur kepada mereka yang melakukan jenayah qazaf sekiranya tidak membawa empat orang saksi terbahagi kepada tiga bentuk, iaitu pertama, berbentuk fizikal menerusi hukuman 80 kali sebatan; kedua, berbentuk moral dan sosial, iaitu kesaksian mereka dalam semua aspek sosial, ekonomi dan kehakiman tidak diterima; dan ketiga, berbentuk agama, iaitu mereka dianggap sebagai seorang yang fasik.

Ujar beliau lagi,

Pada peringkat Jabatan Perdana Menteri, kita telah memperkenalkan Gagasan Kalimah Tayyibah untuk mengajak masyarakat menggunakan perkataan yang baik, selain mengelakkan perbuatan yang keji seperti membuat tuduhan terhadap orang lain.

Di samping itu, nilai yang mulia melalui penggunaan perkataan dan akhlak yang baik mesti ditonjolkan dalam masyarakat supaya Gagasan Kalimah Tayyibah dapat membentuk kefahaman dan membina keamaan sejagat sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 83 yang bermaksud, “Dan bercakaplah baik-baik sesama manusia.”

Tambah beliau,

Masyarakat di luar sana perlu tahu bahawa jenayah qazaf memberikan kesan kepada maruah individu, iaitu menjadi tercela akibat tuduhan yang palsu, apatah lagi dengan kewujudan media sosial yang mempunyai implikasi berganda.

Dalam konteks perundangan, usaha penambahbaikan bagi peruntukan kesalahan qazaf sedang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengajak semua negeri melaksanakan pindaan undang-undang syariah dengan objektif yang jelas kerana berlaku ketidakseragaman peruntukan antara negeri seperti tidak memasukkan kesalahan menuduh seseorang liwat sebagai sebahagian jenayah qazaf.

Beliau turut berpesan kepada umat Islam supaya mengamalkan sikap tabayyun atau menyemak kebenaran terlebih dahulu apabila mendengar berita dan tuduhan yang dibawa oleh seseorang, serta pentingnya untuk saling memperingatkan antara satu dengan yang lain.

Sementara itu, forum anjuran Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dengan kerjasama JAKIM dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu turut menampilkan dua ahli panel yang lain, iaitu Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, YBrs. Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil dan peguam syarii, YBrs. Tuan Noorazmir Zakaria.

Kredit Foto: Facebook - Dato' Setia Dr. Naim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi