Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 27 September 2024, 12:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan dengan kerjasama Institut Pemberdayaan Ummah Selangor (INSPES) menganjurkan Seminar Kajian Islam Peringkat Negeri Selangor Tahun 2024 sebagai platform kepada para pakar untuk berkongsi hasil kajian dan penyelidikan mereka berkaitan dengan hal ehwal Islam di negeri Selangor.

Seminar tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah (Pengurusan) JAIS, YBrs. Tuan Mohd Faizal Abdul Raji di Acappella Suite Hotel pada tengah hari semalam.

Beliau dalam ucapannya berkata,

Elemen pengetahuan merupakan asas kepada pembangunan umat, oleh itu saya menyeru semua peserta seminar untuk mengambil peluang ini bagi memperkayakan ilmu pengetahuan serta meningkatkan kefahaman.

Tambah beliau, kajian berkaitan dengan analisis keperluan model sokongan ihdad (perbuatan berkabung selepas kematian suami) bagi wanita Islam berkerjaya merupakan kajian yang penting dalam konteks kebajikan dan kesejahteraan wanita Islam.

Oleh itu, hasil dapatan kajian tahap kesedaran wanita Islam yang berkerjaya tentang hukum-hakam berkaitan dengan ihdad dapat mencadangkan satu garis panduan ihdad yang komprehensif dan sesuai dengan keadaan semasa kepada wanita di Malaysia.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan kajian tentang refleksi kritis Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi terhadap ekstremisme sebagai sebuah pendekatan yang bijaksana untuk menanganinya melalui manhaj wasatiyah (kesederhanaan) sebagai usaha membanteras ekstremisme yang boleh mengancam keharmonian dan keamanan masyarakat.

Ujar beliau lagi,

Saya berharap pelan strategik yang telah dibentangkan dalam kajian Pelan Strategik Pengupayaan Peranan Institut Masjid sebagai Pusat Tumpuan dapat memberikan panduan yang jelas dan praktikal dalam pengupayaan peranan institusi masjid sebagai pusat tumpuan komuniti di Selangor.

 

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Ahmad Munawar Ismail semasa membentangkan kertas kerja beliau.

Penganjuran seminar pada kali ini menampilkan tiga orang pembentang utama, iaitu Pensyarah Jabatan Undang-undang, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Islam Selangor, YBrs. Puan Noraznah Abdul Wahab; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Ahmad Munawar Ismail dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi,  Universiti Islam Selangor, Profesor Madya Dr. Mariam Abd Majid.

Turut hadir dalam majlis perasmian penutup seminar tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS, YBrs. Puan Nor Azimah Azmi; Pendaftar INSPES, YBrs. Encik Mohd Hafiz Ab Aziz; ketua-ketua jabatan peringkat negeri dan daerah serta pegawai-pegawai tadbir agama Islam daerah.

Kredit Foto: Facebook JAIS
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi