Syaza Wardina .
Diterbitkan pada 15 Julai 2024, 21:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pengarah Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia, Dr. Muhamad Razak Idris berkata, jawatankuasa konvensyen mencadangkan lima resolusi utama yang perlu diambil maklum serta diangkat ke peringkat seterusnya.

Menurut beliau, lima perkara pokok ini menjadi antara syor yang penting sepanjang konvensyen tersebut berlangsung.

Pengarah Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia, Dr. Muhamad Razak Idris ketika berucap pada sesi Pembentangan Resolusi bagi konvensyen tersebut di Dewan Damar Sari, Blok F8, Kompleks F, petang tadi.

“Yang pertama ialah pelaksanaan program pencerdasan dan penerangan kefahaman syariah yang menyeluruh.

“Hal ini merupakan satu keperluan untuk menggerakkan usaha dan program bagi memperkasakan mahkamah dan undang-undang syariah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutupan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia di sini, petang tadi.

“Kami menyeru kepada semua pihak yang berkenaan untuk menjayakan usaha memperkasakan dan merangka program bagi memberikan penjelasan tentang peranan mahkamah dan undang-undang syariah di negara kita,” ujar beliau.

Menurut beliau, resolusi yang kedua ialah pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dilakukan secara teliti dan menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak, iaitu mahkamah syariah, mahkamah sivil dan pakar undang-undang antarabangsa.

“Yang ketiga, menyambut baik gesaan terhadap seruan dan cadangan pewujudan Akta Saraan Hakim-hakim Syarie,” katanya.

Beliau turut menyatakan resolusi yang keempat, iaitu pengharmonian undang-undang dengan melihat isu-isu pertindihan bidang kuasa antara mahkamah syariah dengan mahkamah sivil.

“Yang kelima, konvensyen menyeru supaya langkah segera bagi pengaktifan jawatankuasa sedia ada, dan barangkali mewujudkan mekanisme lain yang sesuai bagi menggerakkan usaha serta meneliti isu-isu berbangkit ke arah memartabatkan perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia,” katanya lagi.

Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia berlangsung selama satu hari di Dewan Damar Sari, Blok F8, Kompleks F, Putrajaya.

Konvensyen ini dianjurkan bertujuan untuk menjelaskan pelan dan perancangan proses pemurnian dan pengharmonian undang-undang syariah-sivil pada semua peringkat.

Selain itu, objektif konvensyen ini adalah untuk memperkukuh kefahaman dan memperkasa tindakan dalam usaha memartabatkan perundangan dan kehakiman Syariah secara kolektif dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Konvensyen ini juga membuka ruang dan wadah dialog terbuka, profesional dan membina ke arah memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia secara komprehensif dan menyeluruh.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yang Amat Arif Dato’ Mohd Amran Mat Zain dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi