Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Apresiasi Ilmu Pembelajaran Islam (AIPIA) anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Cawangan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kian mendapat perhatian masyarakat.
Hal ini dapat dilihat melalui peningkatan penyertaan dalam AIPIA siri ke-3/2024 yang berlangsung pada Sabtu lalu, bertempat di Bilik Latihan 6, Aras 5, Wisma DBP.
AIPIA yang diadakan pada hari Sabtu sebanyak dua kali sebulan, bermula pada 8 Jun 2024, bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap ilmu Islam dalam kalangan masyarakat.
Sesi apresiasi pada kali ini memberikan fokus kepada topik “SMART Solat”: Solat Mengikut Tatacara Rasulullah Tepat, yang melaluinya para peserta dibimbing cara yang tepat secara praktikal untuk melaksanakan solat dengan cara yang betul dan sempurna, sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Presiden PUM Wilayah Persekutuan, YBhg. Dato’ Mohamad Abdullah yang juga merangkap Presiden Yayasan Fikrah Ummah serta Mantan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dalam ucapannya, beliau berasa berbangga dengan usaha meningkatkan kefahaman peserta dengan ilmu Islam apatah lagi melalui buku terbitan DBP sendiri dan dibimbing oleh penulis sendiri.
Bahasa Melayu turut digunakan dengan meluas dalam pelbagai bidang ilmu sejak dahulu lagi dan medan bidang dakwah turut dapat dikembangkan dengan pesat melalui bahasa ini.
PUM berharap agar apresiasi pengajian ini dapat menjadi platform yang berterusan untuk meningkatkan ilmu dan penghayatan terhadap ajaran Islam.
“Kerjasama yang erat antara DBP dengan PUM diharapkan dapat terus memupuk perkembangan positif dalam usaha memartabatkan ilmu dan budaya Islam di negara ini,” ujar PUM.
Orang ramai dialu-alukan mendaftar melalui pautan ini bagi menyertai program AIPIA ini. Peserta akan diberikan maklumat jadual program setelah mendaftar.