Diterbitkan pada 11 Jun 2024, 12:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan bahawa Program Transformasi Destinasi Asnaf (TDA) MAIPs bagi sesi 2 bakal berakhir menjelang Julai 2024.

Program tersebut yang dikendalikan oleh anak syarikat MAIPs, Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) menyasarkan pelibatan golongan asnaf terpilih dari seluruh Perlis untuk menjalani program latihan kemahiran dan pembangunan insan di Taman Desa Asnaf Batu Bertangkup, Chuping.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor  mengeluarkan kenyataan tentang Program Transformasi Destinasi Asnaf (TDA) MAIPs selepas mengiringi Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam program Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Kubang Gajah, baru-baru ini.

“Sebanyak 15 keluarga bagi sesi 1 dan sesi 2 program berkenaan bakal menamatkan sesi latihan selama tempoh dua tahun.

“Mereka dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran asas dalam bidang pertanian, penternakan, pembuatan makanan, dan pertukangan kraftangan selain perniagaan, pemasaran dan sebagainya,” katanya melalui kenyataan MAIPs, baru-baru ini.

Dalam kenyataan tersebut, beliau turut memaklumkan bahawa sesi baharu program berkenaan dijangka bermula menjelang September 2024.

“Bagi anggota masyarakat yang berminat menyertai program berkenaan boleh menghubungi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs melalui interaksi di laman rasmi Facebook ATAM atau melalui talian telefon 012-5834439,” jelasnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi