Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Bengkel Penilaian Modul Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Tahfiz, bertujuan untuk menilai kesahan kandungan modul tersebut dengan kerjasama pakar bidang, semalam.
Bengkel selama sehari itu berlangsung di Fakulti Pengajian Islam, UKM, sebagai inisiatif di bawah geran Skim Penyelidikan Fundamental (FRGS) bagi memperkasakan pendidikan tahfiz dengan penerapan elemen KBAT dan pendigitalan.
Modul ini dapat menjadi pemudah cara kepada guru dan murid untuk menerapkan aktiviti KBAT bagi subjek Hifz al-Quran dalam Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) di samping penggunaan kaedah tradisional yang biasa diamalkan di sekolah.
Bengkel penilaian ini melibatkan empat orang pakar, iaitu Pengarah Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof. Dr. Azmil Hashim; Pensyarah Akademik Unit al-Quran dan al-Sunnah, Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Islam Bangi Dr. Aishah Juri; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Kementerian Pendidikan Malaysia, Encik Mohd Fadzli Abu Bakar; dan Guru Tahfiz STPM Prauniversiti SMKA Putrajaya, Encik Ma’aruf Ishak.

Menurut Prof. Dr. Azmil Hashim, semua pihak sama ada pada peringkat universiti, kementerian mahupun sekolah perlu berkerjasama dalam usaha menghasilkan bahan bantu yang melibatkan penerapan KBAT melalui Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) dan pendidikan digital.
“Hal ini penting bagi memastikan bahan bantu ini benar-benar memenuhi keperluan pendidikan tahfiz, bukan sekadar produk ‘syok sendiri’,” ujarnya.
Beliau sangat menyokong usaha yang diambil oleh mana-mana pihak dalam penyediaan bahan bantu berkualiti yang dapat diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran tahfiz ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi KPM, Encik Mohd Fadzli Abu Bakar pula mencadangkan modul ini diselaraskan dengan Dasar Pendidikan Digital untuk memenuhi keperluan guru dan murid pada abad ke-21.
Pelbagai saranan bernas dikemukakan bagi memastikan modul ini berkualiti dan relevan dalam meningkatkan pendidikan tahfiz dengan mengintegrasikan kaedah tradisional dan moden.
Dr. Najah Nadiah Amran, Pengerusi Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, berharap kerjasama antara universiti dengan pihak berkepentingan terus diperluas bagi menghasilkan produk pendidikan yang bermanfaat kepada masyarakat.

Bengkel ini turut dihadiri oleh penyelidik dari Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, UKM, iaitu Dr. Mohd Faizulamri Mohd Saad selaku Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Haziyah Hussin, Prof. Madya Dr. Latifah Abdul Majid, Dr. Hamdi Ishak, Dr. Najah Nadiah Amran, Dr. Sabri Mohamad dan Cik Nur Syuhada Mohd Ataa.
Penulis ialah Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.