Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 7 Disember 2024, 11:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Lawatan Kerja Delegasi Wilayah Andaman, Thailand ke Negeri Perlis Tahun 2024 terus memperkukuh hubungan dua hala antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan Majlis Agama Islam (MAI) dari enam buah Wilayah Andaman di selatan Thailand, iaitu Phuket, Ranong, Phang Nga, Krabi, Trang dan Satun.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan berangkat menghadiri majlis mengadap oleh delegasi MAI dari enam wilayah Andaman bersempena dengan program lawatan kerja tersebut di Hotel Seri Malaysia, di sini.

Baginda bertitah bahawa lawatan kerja delegasi berkenaan ke Perlis pada kali ini membawa aspirasi yang penting, iaitu merapatkan ukhuwah dan jalinan kerjasama antara kedua-dua belah pihak, seterusnya membuka peluang untuk meneroka kerjasama dalam bidang lain seperti pendidikan, ekonomi dan pelancongan khususnya sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024 – 2025.

“Dengan semangat persaudaraan dan keterbukaan, kita mampu memperluas jaringan kerjasama yang memberikan manfaat bersama, bukan sahaja untuk negeri dan wilayah ini, tetapi juga untuk rakyat secara keseluruhannya,” titah baginda.

Selain itu, baginda menzahirkan keyakinan hubungan baik dua hala yang merentasi negara ini akan berterusan dan lebih banyak lagi kerjasama dapat dijalankan pada masa akan datang.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika menyampaikan titahnya.

Untuk rekod, lawatan kerja tersebut merupakan hasil daripada beberapa pertemuan dan perbincangan antara kedua-dua pihak sebelum ini, bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan menerusi pertukaran pengalaman, pendekatan dan pengurusan berkaitan dengan hal ehwal agama Islam.

Keberangkatan tiba baginda telah disambut oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), YBrs. Tuan Haji Najmuddin Abdul Karim dan Pengerusi MAI Enam Wilayah Andaman, Tuan Yang Terutama Dr. Komon Doomluck yang juga merupakan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Phuket.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama-sama delegasi MAI dari enam wilayah Andaman.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi