Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKlang – Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan mencemar duli merasmikan Masjid Jamek Cina Muslim Klang bertempat di Jalan Langat, petang semalam.
Masjid Jamek Cina Muslim Klang merupakan hasil cetusan idea yang diilhamkan oleh Sultan Selangor ketika baginda berangkat ke China dan melawat sebuah masjid tertua yang terletak di bandar Xi’an pada tahun 2015.
Baginda tertarik dengan sejarah dan seni reka masjid berkenaan serta memasang impian agar sebuah masjid Cina Muslim berkonsepkan seni bina masjid yang hampir serupa didirikan di negeri Selangor.
Selain itu, baginda telah mencadangkan pihak Kerajaan Negeri Selangor mengadakan lawatan ke Xi’an untuk mengambil ilham seni bina masjid tertua tersebut.

Pembinaan Masjid Jamek Cina Muslim Klang berjaya disiapkan pada 11 Julai 2024 yang lalu dan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 22 Ogos 2024.
Oleh itu, hasrat baginda apabila terbinanya rumah ibadat pelbagai agama di Bandaraya Diraja Klang akan dapat membentuk persefahaman serta perasaan hormat-menghormati antara penganut pelbagai agama di kawasan tersebut khususnya dan di Selangor amnya.

Dalam majlis yang sama, baginda turut menyempurnakan penyampaian cek cura sumbangan van jenazah daripada Bank Islam Malaysia Berhad serta penyampaian Anugerah Masjid Terbaik Negeri Selangor Tahun 1446H/2024M.
Ketibaan baginda disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof; Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari; Orang Besar Daerah Klang, YBhg. Dato’ Setia Haji Mohammed Khusrin Haji Munawi; dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, YBhg. Dato’ Haji Abd. Hamid Hussain.
Turut berangkat sama dalam majlis perasmian tersebut, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah dan dihadiri oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku, Yang Berhormat (YB) Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar.