Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Tiga orang tokoh pendakwah tersohor negara, iaitu Dr. Ahmad Kamil Jamilin atau dikenali sebagai Dr. Kamilin Jamilin, Sheikh Mohd Nazrul Abd Nasir dan Profesor Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail menerima Anugerah Sahabat Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bagi kategori ilmuwan dalam Majlis Anugerah Pendakwah Negara 2024.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan, Allah SWT telah memberikan panduan dalam penyampaian dakwah, iaitu menerusi kaedah hikmah, nasihat yang baik serta berdialog yang harmoni.
“Perkara ini merupakan adab yang sangat penting dan harapan kita semua agar mereka yang digelar para pendakwah perlu mengambil kira adab ketika melakukan usaha untuk mengajak masyarakat ke arah kebaikan,” kata beliau.
Sebagai agamawan yang dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat, sudah tentu kita perlu menunjukkan akhlak dan adab yang mulia ketika hendak melakukan dakwah kerana masyarakat akan melihat golongan agamawan sebagai contoh yang terbaik.
“Walaupun dalam kebanyakan masa kita mempunyai perbezaan pandangan dan kadangkala ada aliran tertentu yang kita ikuti dan dirasakan betul, tetapi dalam kita berbeza pandangan itu mesti ada adab dan akhlak tertentu yang perlu kita ikuti,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, sekiranya golongan agamawan tidak mengikuti adab ketika tatkala berbeza pandangan dan melakukan dakwah kepada masyarakat, sudah tentu usaha untuk membina nilai masyarakat madani tidak akan tercapai.
Jelasnya lagi, proses islah atau perubahan masyarakat perlu bermula daripada agamawan sebagai orang yang diberikan kelebihan oleh Allah SWT dalam konteks ilmu pengetahuan.

Majlis Anugerah Pendakwah Negara 2024 dianjurkan oleh YADIM dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Perbadanan Putrajaya, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Zurich Takaful Malaysia Berhad bersempena dengan Program Dakwah Negara pada 31 Ogos 2024 hingga 31 Oktober 2024 yang lalu untuk menyeru masyarakat supaya memahami konsep cinta akan negara (hub al-watan) selaras dengan gagasan Malaysia MADANI.
Selain tiga orang pendakwah tersebut, Radio Zayan turut menerima anugerah menerusi kategori media dakwah; Wakaf An Nur Corporation dalam kategori korporat; Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dalam kategori rakan strategik (agensi kerajaan); serta Institut Antarabangsa Pemikiran Islam (IIIT) bagi kategori rakan strategik (badan bukan kerajaan).
Antara penerima lain termasuklah Muhammad Sabri Yunus yang menerima Anugerah Pendakwah Seni Kreatif manakala Haji Nicholas Sylvester @ Muhammad Abdullah sebagai penerima Anugerah Perdana Daie Murabbi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Dipertua YADIM, YBhg. Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; Timbalan Yang Dipertua YADIM, YBrs. Prof. Dr. Adi Anuar Azmin @ Che Wan dan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, YBrs. Ustaz Zamri Zainal Abidin.