Diterbitkan pada 21 November 2024, 11:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi  – Pengarah Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, YBrs. Encik Ku Mohd Akhir Ku Saad, pada hari ini menegaskan komitmen institusi tersebut untuk memperluas akses pendidikan berkualiti kepada pelajar tahfiz lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

YBrs. Encik Ku Mohd Akhir menyatakan bahawa program ini ialah langkah penting untuk pembangunan modal insan, khususnya dalam usaha melatih pelajar tahfiz dengan kemahiran teknikal dan profesional yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa depan.

“Saya melihat program ini sebagai medan untuk meningkatkan akses pendidikan berkualiti serta pembangunan modal insan kepada pelajar huffaz melalui latihan dalam bidang teknikal, profesional dan kemahiran yang relevan,” katanya dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan bersempena dengan Program Libat Urus MARA bersama-sama Pengurus Pusat Tahfiz Negeri Selangor 2024 yang berlangsung di kampus KPTM Bangi.

Beliau turut menekankan peranan MARA dan KPTM bagi memastikan usaha transformasi pendidikan dijalankan secara berterusan, selari dengan aspirasi negara untuk membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia.

Antara inisiatif utama yang diketengahkan termasuklah Program Pemerkasaan Huffaz, yang memberikan peluang kepada pelajar tahfiz menyambung pengajian dalam bidang akademik sambil mengukuhkan hafazan mereka. 

Sejak diperkenalkan pada tahun 2018, program ini telah memberikan manfaat kepada 82 orang pelajar huffaz, yang turut menikmati insentif Hadiah Siswa bagi pelajar yang mencapai tahap hafazan 30 juzuk.

“Melalui program ini, pelajar menerima pendidikan holistik yang merangkumi aspek akademik dan kokurikulum. Antara usaha yang dijalankan termasuklah kelas murajaah, program mentor-mentee dan Kumpulan Halaqah yang dipandu oleh guru bertauliah,” tambah beliau.

YBrs. Encik Ku Mohd Akhir turut menyeru pengurus tahfiz yang hadir untuk menyampaikan maklumat mengenai program KPTM kepada pelajar lepasan SPM di institusi masing-masing.

Beliau turut berharap program ini akan mencapai matlamatnya dalam usaha mempersiapkan pelajar tahfiz bukan sahaja dengan ilmu al-Quran tetapi juga dengan kemahiran hidup dan nilai terpuji yang mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

“Kami mahu pelajar huffaz melangkah keluar dari institusi ini dengan ilmu, kemahiran dan nilai diri yang mulia, agar mereka dapat menghadapi cabaran masa depan dengan yakin,” katanya.

Sebagai rekod, KPTM Bangi melaksanakan Program Pemerkasaan Huffaz dalam semua program pendidikannya.

Antara program yang ditawarkan termasuklah Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Perakaunan dan Kewangan melalui kerjasama dengan Dublin Business School.

Selain itu, KPTM Bangi turut menawarkan pelbagai program diploma seperti Diploma Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), Diploma Pengurusan Sukan, Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Pengurusan Perniagaan (Hibrid), Diploma Perbankan dan Kewangan Islam serta Diploma Perakaunan.

Bagi pelajar yang ingin memulakan pengajian pada peringkat asas, Asasi Perakaunan juga disediakan.

Kesemua program ini dirangka untuk memenuhi keperluan industri semasa dan membekalkan pelajar lepasan tahfiz dengan kemahiran profesional yang relevan untuk masa depan.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi