Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 21 November 2024, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seminar Hukum Islam Semasa XII Peringkat Nusantara 2024 dengan tema “Memperkasa Legasi Profesor Emiritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Haji Abdul Majid” akan diadakan pada bulan hadapan, iaitu pada 11 hingga 12 Disember 2024 di Balai Ilmu Mahmood Zuhdi, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM).

Seminar tersebut merupakan anjuran Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam dengan kerjasama Majlis Dakwah Negara, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Program Falak APIUM serta Lajnah Fiqh dan Usul APIUM akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar.

Sebanyak 10 kertas utama akan dibentangkan oleh ahli akademik sepanjang dua hari seminar tersebut berlangsung dengan kaedah bersemuka secara fizikal dan hibrid dalam talian.

Selain itu, seminar tersebut turut menampilkan tokoh agamawan tersohor dalam negara seperti Mufti Wilayah Persekutuan, YBhg. Sahibus Samahah Profesor Madya Datuk Dr. Luqman Haji Abdullah; Mufti Sarawak, YBhg. Sahibus Samahah Datu Haji Kipli Haji Yassin; Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, YBhg. Sahibus Samahah Dato’ Kaya Perba Dato’ Haji Mohamad Shukri Mohamad; dan Mufti Kerajaan Negeri Melaka, YBhg. Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim Tawil.

Di samping itu, objektif penganjuran seminar tersebut adalah untuk membincangkan legasi Allahyarham Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Haji Abdul Majid dalam pengajian syariah dan menjelaskan pendekatan beliau dalam isu hukum Islam semasa di Malaysia, selain mengembangkan gagasan “Fiqh Malaysia” dalam isu fiqh semasa dan setempat.

Sementara itu, Allahyarham Profesor Emiritus Dato Dr. Mahmood Zuhdi Haji Abdul Majid yang dilahirkan di Besut, Terengganu pada 10 Oktober 1949 ialah seorang cendekiawan dan ahli akademik Islam yang terkenal dengan sumbangannya kepada perundangan, pendidikan dan pemikiran Islam di Malaysia.

Beliau melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang syariah di Universiti Malaya (UM) sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Syariah dari Universiti al-Azhar, Mesir dan Sarjana Falsafah dari Universiti Kent, England, seterusnya menyambung pengajian pada peringkat doktor falsafah di UM.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah berkhidmat dalam pelbagai peranan akademik dan kepimpinan di universiti seperti Dekan Fakulti Syariah UM dan Pengarah Akademi Pengajian Islam UM.

Kepakaran beliau dalam bidang fiqh dan usul fiqh yang disegani oleh banyak pihak telah menjayakan penghasilan pelbagai penerbitan buku, artikel dan kertas kerja berkaitan dengan undang-undang Islam, etika dan isu kontemporari yang dihadapi oleh masyarakat Islam.

Beliau juga aktif melibatkan diri dalam pelbagai majlis dan pertubuhan Islam di Malaysia serta menyumbang kepada perbincangan dasar, pembangunan pendidikan Islam dan rangka kerja perundangan di negara ini.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftarkan diri menerusi laman sesawang https://umevent.um.edu.my/SHISXII2024 dengan kadar yuran penyertaan berdasarkan kategori yang telah ditetapkan, iaitu peserta awam sebanyak RM100; peserta pelajar sebanyak RM100; dan peserta agensi sebanyak RM250.

Kredit Foto: Universiti Malaya
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi