Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 20 November 2024, 15:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Sebanyak 93 orang guru agama dianugerahkan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis pada tahun ini dalam Simposium Guru Agama dan Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis Tahun 2024 yang berlangsung di Dewan Warisan, semalam.

Penerima tersebut terdiri daripada 11 orang penerima Tauliah Umum dan 82 orang penerima Tauliah al-Quran, dan seorang daripada penerimanya ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Perlis, Yang Berhormat (YB) Ustaz Muhammad Azmir Azizan.

Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan untuk mengurniakan tauliah kepada 11 orang wakil penerima.

Baginda dalam titahnya mengingatkan kepada para hadirin bahawa akidah yang wajib diikuti oleh umat Islam di negeri tersebut ialah akidah Ahli Sunah Waljamaah berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.

Semua kepimpinan utama, jentera pentadbiran kerajaan, para ustaz, pemegang tauliah mengajar dan semua rakyat yang memilih untuk menetap dan bekerja di negeri Perlis hendaklah benar-benar memahami pegangan akidah berkenaan.

Hasrat ini adalah selaras dengan amanat kedua dalam ‘Titah Tujuh Amanat’ yang telah dizahirkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis yang kita kasihi.

Titah baginda, hal ini menggambarkan sikap inklusif Perlis yang tidak mudah menyesatkan aliran yang berbeza, di samping berusaha membawa Islam yang bersikap terbuka, luas horizon fiqah serta mementingkan dalil dan fakta sejak sebelum merdeka lagi.

Di samping itu, baginda turut menyempurnakan pelancaran buku baharu terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis, iaitu Mukadimah Kaedah Fiqhiyyah karangan Ustaz Fauwaz Fadzil yang membincangkan dimensi pemahaman yang mendalam tentang kaedah fiqhiyyah, iaitu asas penting dalam pemikiran Islam yang berbentuk kefahaman terhadap hukum syarak.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika melancarkan buku Mukadimah Kaedah Fiqhiyyah karangan Ustaz Fauwaz Fadzil.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Perlis, YB Ustaz Muhammad Azmir Azizan turut menerima Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis pada tahun ini.

Terdahulu, Mufti Perlis, YBhg. Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin turut menyampaikan ucapan alu-aluan dan amanat dalam majlis tersebut.

Selain itu, Simposium Guru Agama yang diadakan pada sebelah pagi menampilkan dua orang pembentang, Ahli Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perlis, YBrs. Ustaz Mohammad Adnin Yahya dan Pensyarah Kanan Fakulti al-Quran dan al-Sunnah, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), YBrs. Dr. Muhammad Lukman Mat Sin.

Barisan penerima Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis bagi tahun 2024.

Simposium tersebut diadakan bertujuan untuk menyediakan platform kepada guru agama di Perlis berbincang berkaitan dengan isu semasa serta berkongsi amalan terbaik dalam penyampaian dakwah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Perlis, Yang Amat Berhormat Tuan Mohd Shukri Ramli; Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Yang Berhormat (YB) Tuan Rus’sele Eizan; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail; Penasihat Undang-undang Negeri Perlis, YBrs. Tuan Yang Zaimey Yang Ghazali; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Perlis.

Kredit Foto: Facebook - Pejabat SUK Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi