Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRio de Jeneiro – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, memulakan program rasmi di Brazil semalam dengan sesi diskusi santai bersama-sama komuniti Islam di Rio de Janeiro.
Pertemuan itu berlangsung ketika lawatan beliau ke negara tersebut atas jemputan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, sempena Sidang Kemuncak G20.
Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri berbincang dan bertukar pandangan dengan komuniti Islam mengenai isu pembangunan ummah di Brazil, sebuah negara dengan populasi Islam minoriti.
YAB Dato’ Seri Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk membantu Brazil dalam aspek pengurusan halal, selain memperkukuh usaha memartabatkan Islam melalui pendidikan dan dakwah kepada komuniti setempat.
Sebagai tanda sokongan, Perdana Menteri mengumumkan usaha Malaysia untuk membantu aktiviti Masjid Luz, satu-satunya masjid di Rio de Janeiro, yang menjadi pusat penting bagi komuniti Islam di sana.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam Brazil, termasuklah senaskhah al-Quran cetakan khas dan 10 naskhah terjemahan dalam bahasa Portugis.
“Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan ummah di mana-mana sahaja, khususnya melalui pendekatan pendidikan dan dakwah yang inklusif,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.
Pertemuan ini mencerminkan keprihatinan Malaysia terhadap pembangunan masyarakat Islam pada peringkat global, sambil memperkukuh hubungan erat antara Malaysia dengan Brazil.