Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara Kali Ke-2 yang berlangsung pada 13 November hingga 15 November 2024 di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, Kangar mengangkat tema “Imbangan antara Agama dengan Budaya”.
Persidangan ini merupakan aktiviti anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta melibatkan para peserta dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Vietnam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, baginda percaya bahawa tema yang dipilih ini amat penting untuk dibahaskan dalam usaha mengimbangi antara prinsip agama dengan adat budaya yang terdapat dalam masyarakat pada hari ini.
Titah baginda,
Islam ialah suatu agama yang ditegakkan atas landasan hujah yang benar melalui panduan al-Quran dan Sunah.
Islam juga ialah suatu agama fitrah yang sentiasa relevan dalam kehidupan umat manusia sepanjang zaman, tanpa mengira tempat, masa mahupun bangsa.
Titah baginda, “Sesungguhnya kedatangan Islam merupakan rahmat terbesar bagi umat manusia. Dengan datangnya Islam ke tanah air kita, maka Islam telah memperbaiki dan memurnikan kehidupan manusia dalam segala aspek.”
“Ajaran Islam telah mencerdikkan akal manusiawi yang kadang kala terbelenggu dengan kefahaman, adat dan budaya karut-marut yang merendahkan nilai intelektual dan kerohanian manusia,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, “Amalan syirik dan khurafat kadangkala menjadi sebahagian adat kebiasaan dalam kehidupan masyarakat setempat.”
“Dengan datangnya Islam, maka Islam telah menyucikan segala perkara ini dengan memurnikan kembali adat dan budaya mengikut panduan syariat,” titah baginda.
Melalui keputusan yang dihasilkan melalui persidangan ini, baginda mengharapkan persidangan ini mampu memberikan gambaran kedudukan budaya mengikut garis panduan Islam.
Tuanku Syed Faizuddin Putra juga yakin, agama Islam yang mulia ini tidak sama sekali menolak unsur adat dan kebudayaan selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang murni ini.