Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 15 November 2024, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rancangan islamik dalam industri seni kreatif memiliki spesifikasi tersendiri yang bersifat patuh syariah, di samping menjadi platform dan medan dakwah kepada masyarakat.

Menurut Pengarah Pusat Media, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), YBrs. Tuan Haji Ahmad Fuad Mat Ali, perbahasan tentang rancangan islamik pada peringkat institusi pengajian tinggi dan industri sudah lama dibincangkan sebelum ini.

Katanya, rancangan Islamik atau lebih dikenali “media halal” sesuai dengan trend semasa dan perkembangan industri telah meletakkan keberadaannya sebagai sebahagian daripada ekosistem halal kerana konsep halal bukan sahaja spesifik kepada makan minum semata-mata.

Beliau berkata,

Kandungan islamik tidak semestinya bercerita tentang hukum-hakam sahaja, boleh jadi cerita berbentuk kebudayaan, gaya hidup dan sebagainya.

“Jadi apa-apa yang kita lakukan dengan mempamerkan Islam sebagai cara hidup, kandungan islamik mencerminkan kehidupan kita sebagai seorang Muslim dan apa jua yang berada dalam ruang lingkup tersebut,” katanya dalam segmen Profesional Halal, IKIM Radio yang bersiaran di Menara Kuala Lumpur, semalam.

Beliau menjelaskan bahawa negara Malaysia cukup bertuah kerana memiliki institusi hal ehwal Islam, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah memberikan garis panduan khusus dalam bidang penyiaran sejak tahun 2015.

Antara spesifikasi rancangan islamik yang mahu diterbitkan yang telah digariskan dalam buku Garisan Panduan Penapisan Kandungan Bahan-bahan Penyiaran Berunsur Islam oleh JAKIM ialah tidak mengandungi perkara yang menyentuh kesucian Islam; tidak mempropagandakan akidah, hukum dan ajaran yang menyeleweng; tidak boleh pelakon Islam melakukan watak sebagai bukan Islam dan tidak boleh melakonkan atau menuturkan dialog yang berkaitan dengan hukum-hakam dalam perkahwinan yang melibatkan pelakon suami isteri yang sah.

Selain itu, rancangan tersebut tidak boleh melakonkan ibadat khusus secara salah atau mempersendakan ibadat tersebut; tidak boleh mempersendakan atau mempersoalkan kewibawaan sumber hukum Islam yang utama, iaitu al-Quran, sunah, ijmak dan qiyas serta tidak boleh pelakon lelaki berlakon watak sebagai perempuan dan sebaliknya.

Selain itu, umat Islam hendaklah berusaha untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem rancangan islamik menerusi audio, video, digital dan siniar kerana industri media halal mempunyai nilai yang besar di peringkat antarabangsa, iaitu sebanyak hampir USD231 bilion berdasarkan statistik dalam Laporan Ekonomi Islam Global pada tahun 2021.

Perkara ini menyebabkan negara Turki, Indonesia, Iran dan beberapa buah negara Islam sudah mula mencari strategi dan formula untuk terus menjadi penyumbang yang terbesar dalam industri media halal antarabangsa.

Ujar beliau lagi,

Kita masih perlu melatih seramai mungkin pemain industri penyiaran media untuk memahami konsep hiburan atau kandungan patuh syariah.

Hal ini dikatakan demikian kerana kurangnya kesedaran masyarakat tentang penghasilan kandungan yang mematuhi garis panduan syarak dalam konteks landskap media yang luas seperti kandungan digital dan media sosial merupakan antara cabaran yang dihadapi pada masa ini.

Beliau turut berkongsi bahawa pengeksportan kandungan islamik ke pasaran antarabangsa memerlukan sokongan yang menyeluruh daripada kerajaan dan banyak pihak dari dalam mahupun luar negara, khususnya dari aspek strategi, dana, ekosistem yang besar serta kerjasama yang luas.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi