Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 22 Oktober 2024, 11:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Polemik dan salah faham terhadap Rang Undang-undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan tercetus disebabkan oleh kejahilan individu yang tidak memahami konsep undang-undang dengan betul.

Hal yang demikian dinyatakan oleh Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), YBhg. Profesor Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed semasa sesi perkongsiannya dalam Topik Pagi “RUU Mufti Wilayah Persekutuan: Memperkasa Institusi Fatwa” di Studio IKIM, semalam.

Menurut beliau, RUU Mufti Wilayah Persekutuan perlu difahami sebaik-baiknya kerana undang-undang yang akan diperkenalkan di Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mempunyai hubungan yang signifikan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara ini selaras dengan Perkara 4(1), Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan undang-undang utama negara ialah Perlembagaan Persekutuan dan sebarang undang-undang yang diluluskan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan perlembagaan tidak sah setakat ketidakselarasan itu,” jelasnya.

Menurutnya lagi, dalam konteks pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia, Wilayah Persekutuan mempunyai Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) manakala di negeri-negeri mempunyai Enakmen Pentadbiran Agama Islam.

Beliau berkata,

Wilayah Persekutuan sebenarnya ibarat satu negeri, cuma tidak mempunyai Dewan Undangan Negeri dan (badan perundangan) yang membuat undang-undang bagi Wilayah-wilayah Persekutuan ialah Parlimen.

RUU Mufti Wilayah Persekutuan bukan satu-satunya undang-undang (berkaitan dengan mufti) yang ada di Malaysia tetapi di negeri lain seperti Sabah dan Kedah sudah ada (peruntukan undang-undang tersebut).

Salam faham yang timbul dalam kalangan orang awam yang menganggap bahawa setelah RUU Mufti Wilayah Persekutuan diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong menjadi undang-undang negara adalah tidak benar kerana persoalan berkenaan dengan hal ehwal Islam merupakan bidang kuasa negeri.

Kuasa agama Islam di negeri-negeri tertakluk bawah raja atau sultan bagi negeri-negeri yang mempunyai raja atau sultan manakala negeri-negeri yang tidak mempunyai raja atau sultan seperti Wilayah-wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak di bawah Yang di-Pertuan Agong sebagaimana dalam Perkara 3(5), Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, punca kuasa mufti sudah wujud dalam peruntukan kecil dalam Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 atau Akta 505 sebelum ini dan kajian berkaitan dengan fatwa dan institusi mufti di seluruh Malaysia sudah lama dilaksanakan untuk memperkasakannya.

YBhg. Profesor Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam juga berkata, “Setiap fatwa yang hendak diwartakan dan mengikat dari sudut undang-undang perlu melalui Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak serta mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.”

“Walau bagaimanapun, orang ramai perlu memahami terdapat perbezaan antara fatwa daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak dengan pandangan dan nasihat daripada mufti,” jelas beliau.

Seseorang mufti tidak akan mengatasi ketinggian perlembagaan, malah mufti tertakluk dan terikat dengan semua undang-undang yang sedang berkuat kuasa dalam negara.

Di samping itu, penetapan mazhab akidah Asya’irah dan Maturidiyah dalam RUU Mufti Wilayah Persekutuan bersesuaian dengan konteks di Malaysia yang telah mengamalkan ajaran Islam secara aman dan mengelakkan masyarakat daripada bingung serta keliru akan pelbagai masalah yang timbul.

Fatwa yang diwartakan tidak akan menyekat kebebasan setiap warganegara yang dijamin dalam Perkara 5 hingga Perkara 13, Perlembagaan Persekutuan walaupun diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak.

Dalam hal ini juga, kebebasan yang diperuntukkan tidak bersifat mutlak seperti Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan memberikan kebebasan kepada setiap individu berhak untuk menganut dan mengamalkan agamanya tetapi tertakluk pada Perkara 11(4) dari aspek mengembangkan agamanya.

Kredit Foto: Facebook IKIM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi