Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 17 Oktober 2024, 10:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Ilmu falak dan ilmu astronomi mempunyai entiti masing-masing dan memiliki perbezaan tersendiri.

Dalam konteks bahasa Arab, ilmu astronomi merujuk ilmu ahli nujum manakala ilmu falak ialah ilmu astronomi yang telah dimurnikan dan dibersihkan daripada unsur syirik, khurafat dan sekularisme yang menjadi asas ilmu astronomi Yunani dan Eropah sebelum ini.

Menurut mantan Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin, YBrs. Dr. Baharrudin Zainal,

Kalau kita lihat buku-buku astronomi Eropah, (ilmu tersebut) akan bermula dengan astronomi agama (mengandungi) benda yang khurafat, (iaitu) astrologi.

Menurut beliau, aplikasi falak secara umumnya merangkumi tiga proses yang perlu diikuti, iaitu pendalilan, penggunaan teori yang berkaitan astronomi, falak dan hukum-hakam serta pelaksanaan amali.

Beliau berkata demikian semasa sesi pembentangan yang bertajuk “Pemerkasaan Aplikasi Falak Menggunakan Sumber Tradisi dan Kontemporari” dalam Seminar Pemerkasaan Kompetensi Falak di Institut Latihan Islam Malaysia, semalam.

Katanya lagi, kemajuan ilmu astronomi merangkumi empat fasa, iaitu fasa astronomi agama yang merujuk manusia purba yang bergantung pada unsur spiritual dan pemujaan fenomena langit dan objek angkasa dengan binaan kuil serta balai cerap.

Fasa kedua ialah fasa astronomi empirikal yang beralih kepada aktiviti pencerapan yang rasional, sistematik dan menerapkan pendekatan saintifik.

Sementara itu, fasa ketiga ialah fasa astronomi optik dengan menggunakan peralatan optik yang signifikan seperti teleskop astronomi pertama oleh Galileo Galilei.

Fasa keempat pula ialah fasa astrofizik, iaitu gabungan ilmu fizik dengan ilmu astronomi pada sekitar awal kurun ke-20 apabila saintis tidak berpuas hati dengan hasil cerapan objek langit sebelum ini.

Selain itu, sejarah rujukan penetapan waktu solat di Malaya semasa era penjajahan British melalui tiga kaedah, iaitu berdasarkan waktu di Ibu Pejabat Pos Daya Bumi Kuala Lumpur, menara jam daerah dan alat rubu’ al-mujayyab (sukuan sinus).

YBrs. Dr. Baharrudin Zainal berkata,

Kita di Malaya (ketika itu), tidak terdapat balai cerap untuk mencerap matahari yang dibuat oleh British kerana British memiliki balai cerap matahari di Madras (Chennai, India) dan Australia.

Ujar beliau lagi,

Kuala Lumpur pada ketika itu, mengambil waktu transit matahari di Madras dan dihantar isyarat ke Ibu Pejabat Pos Daya Bumi pada kurun ke-19.

Dari situ, isyarat dipancarkan ke semua stesen kereta api supaya seluruh Malaya dapat waktu yang betul dan sama.

Zaman kecerdasan buatan membantu ahli falak untuk memantapkan penyelidikan dan pendidikan astronomi di Malaysia dengan menggunakan keupayaan komputer yang maksimum, analisis data raya dan menggali maklumat daripada pelbagai sumber.

Di samping itu, antara aset dan sumber tradisi falak yang membolehkan ahli falak bersedia dengan cabaran masa hadapan termasuklah tongkat istiwa’ seperti yang dinyatakan dalam catatan buku Cina, India dan al-Biruni dan manuskrip berkaitan dengan alat rubu’ al-mujayyab serta pengiraannya yang dipersembahkan dalam bentuk diskriptif.

Beliau menyatakan rasa kagum akan iltizam, kearifan dan ketinggian ilmu ulama falak di tanah Jawa yang beragama Hindu pada asalnya untuk mengubah suai penggunaan takwim qamari-suria (lunisolar calendar) kepada takwim qamari penuh melalui proses pemurnian pengislaman ilmu.

Di samping itu, punca reformasi Kalendar Julian kepada Kalendar Gregorian disebabkan terdapat ralat sebanyak 11 hari selama 1200 tahun tanpa dibuat pembetulan hingga kurun ke-17 yang pada akhirnya menyebabkan penganut agama Nasrani menyambut krismas ketika salji telah cair.

Jelas beliau lagi,

Karyawan falak mesti ada pengetahuan maksimum tentang ilmu falak, manuskrip, tradisi, artifak supaya penyelidikan, data dan kertas kerja yang dibuat mengandungi perkara yang betul dan boleh digunakan untuk kemajuan yang lebih tinggi.

Beliau mengingatkan semua pihak supaya menghargai usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak lain seperti ahli fizik, juruukur, saintis dan jurutera bagi membolehkan ahli falak menggunakan produk mereka dan membantu umat Islam untuk menyempurnakan ibadat.

Penerbitan almanak amat penting dan perlu disediakan lebih awal bertujuan untuk meramalkan posisi cakerawala pada masa hadapan kerana manusia pada zaman empirikal memerhatikan cakerawala dan merekodkan pergerakannya.

Ilmu falak perlu berakhir di lapangan dan bukannya pada peringkat pengeluaran hukum supaya tidak mencetus konflik dan mewujudkan jurang antara pembuat hukum dengan orang yang melaksanakan cerapan.

Kredit Foto: Facebook - ILIM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi