Diterbitkan pada 16 Oktober 2024, 22:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari menyasarkan pengembangan sektor halal negeri tersebut pada peringkat global.

Beliau menekankan bahawa sektor halal bukan sahaja menyumbang kepada hasil ekonomi negeri Selangor, tetapi juga membuka peluang bagi perniagaan pelbagai saiz untuk berkembang di pasaran domestik dan antarabangsa.

“Hingga kini, terdapat sebanyak 9436 pemegang sijil halal aktif di Malaysia, dan 33 peratus daripadanya adalah dari Selangor,” kata beliau dalam ucapan pembukaan Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal semakin meningkat, dan menyeru semua pihak agar bersedia memenuhi permintaan tersebut.

Walau bagaimanapun, YAB Dato’ Seri Amirudin menekankan keperluan untuk meningkatkan bilangan perniagaan yang memperoleh pensijilan halal bagi memastikan Selangor terus berdaya saing pada peringkat global dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Selain itu, beliau berkongsi tentang sasaran Malaysia untuk meningkatkan eksport produk halal kepada RM75.2 bilion menjelang tahun 2030, dengan sektor halal pada ketika ini menyumbang sebanyak 7.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

Beliau optimis bahawa dengan usaha berterusan, sumbangan sektor halal kepada ekonomi negara akan meningkat kepada 10.8 peratus dalam tempoh yang sama.

YAB Dato’ Seri Amirudin juga mengulas peranan sektor halal dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1), yang bertumpu kepada pengukuhan ekonomi, peningkatan taraf hidup, serta mewujudkan sistem pentadbiran abad ke-21.

Katanya,

Sektor halal merupakan satu daripada sembilan sektor utama yang menjadi pemacu pertumbuhan masa depan Selangor.

“Pembangunan sektor ini bukan sahaja penting dari sudut ekonomi tetapi juga untuk memajukan keterangkuman sosial dan kesaksamaan,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan pematuhan kepada standard halal yang ketat, yang bukan sekadar sijil kelulusan, tetapi mencerminkan komitmen terhadap kualiti, keselamatan, dan etika.

Mengakhiri ucapannya, YAB Dato’ Seri Amirudin menegaskan peranan SELHAC dalam meletakkan Selangor sebagai hab pelaburan halal global dan pusat ekosistem halal yang komprehensif.

Kredit Foto: Facebook SELHAC
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi