Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diberikan tanggungjawab utama untuk menerajui pelaksanaan program pemulihan akidah terhadap ahli-ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
“Program ini akan melibatkan beberapa agensi kerajaan lain, termasuklah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Akademi Kenegaraan Malaysia (AKN), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), serta Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN),” terang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Program pemulihan ini dijangka dilaksanakan selama 90 hari, dengan kerangka modul yang telah diatur untuk dua kumpulan utama, iaitu kanak-kanak dan dewasa.
Beliau berkata, “Bagi kumpulan kanak-kanak, modul akan berpandukan Kurikulum KAFA JAKIM, Modul Pengukuhan Akidah, Manual Psikospiritual Islam, Panduan Wirid dan Doa Selepas Solat, Modul Pembangunan Remaja, serta Modul MyInsaniah.”
“Penambahbaikan elemen doktrin dan pemikiran akan turut diambil kira,” jelasnya.
“Bagi kumpulan dewasa pula, modul pemulihan akan menggunakan Modul Istitabah yang dibangunkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), dengan penambahbaikan elemen pemikiran semasa,” kata beliau dalam sesi pagi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) serta pegawai dari JAIN dan JAKIM yang bertauliah akan dilibatkan sebagai tenaga pengajar di pusat-pusat pemulihan ini.
Beliau menjelaskan, mereka akan menjalani program khusus Training of Trainers (TOT) bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan program pemulihan ahli-ahli GISBH.
YB Senator Dato’ Setia Dr. Na’im menjelaskan, “Untuk aspek pemulihan akidah, JAKIM akan menerajui program ini dengan kerjasama MAIN atau JAIN serta agensi lain seperti JKM dan AKN.”
“Selain itu, semakan perkahwinan akan diterajui oleh JAIN dengan penyelarasan daripada JAKIM, JKM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya lagi.
“Bagi bantuan zakat, JAWHAR akan menyelaraskan cadangan bantuan kelangsungan hidup bagi ahli GISBH yang mengikuti pemulihan secara sukarela, dengan kerjasama MAIN atau pusat zakat negeri-negeri yang berkaitan,” tambah YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im.
Modul pemulihan yang digunakan akan berpandukan modul sedia ada daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), serta modul bagi kanak-kanak JKM berdasarkan silibus KAFA dan Modul Pemerkasaan Rohani bagi Kanak-Kanak Institusi JKM, dengan beberapa penambahbaikan yang sesuai.
“Akhir sekali, MAIN/JAIN akan bekerjasama dalam cadangan untuk menentukan bilangan, kapasiti, dan lokasi pusat pemulihan di bawah seliaan mereka bagi tujuan penempatan pemulihan secara sukarela,” ujarnya.
Dalam usaha menangani isu ini, YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im menyatakan bahawa JAKIM turut terlibat dalam Pasukan Bilik Gerakan Ops Global bersama-sama Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Khas PDRM, serta agensi lain JKM dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Usaha ini juga dipimpin oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan tindakan menyeluruh terhadap GISBH dapat diambil dengan kerjasama semua pihak yang terlibat,” ujar beliau.
“Hingga hari ini, tiga negeri di Malaysia telah mengeluarkan fatwa rasmi yang memutuskan bahawa ajaran GISBH adalah sesat,” tambah beliau lagi.
Negeri Perlis menjadi negeri pertama yang mengeluarkan fatwa pada 20 September 2024. Melalui keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, ajaran GISBH didapati mengandungi unsur-unsur sesat, khususnya dalam aspek batiniah.
Pada 5 Oktober 2024, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang turut mengeluarkan fatwa yang menyatakan bahawa pengikut-pengikut GISBH telah menyeleweng dan dianggap sesat.
Jabatan Mufti Negeri Selangor, dalam Mesyuarat Khas pada 30 September 2024, membincangkan fahaman dan amalan ahli-ahli GISBH yang masih mengamalkan Aurad Muhammadiah.
Didapati bahawa fahaman dan amalan tersebut mempunyai ciri-ciri yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar, khususnya dari segi akidah dan syariat menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah.